Ahad, 2 Disember 2012

Analisis: Najib perlu menang 2/3 elak dilema

G MANIMARAN

AGM Umno
IKRAR TAAT SETIA... Perwakilan bersama-sama melafazkan ikrar taat setia pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung Umno, semalam. - Foto Bernama
 
ANALISIS - Dalam ucapan penggulungan setahun lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menyentuh aspek keyakinan bahawa partinya akan memperolehi majoriti dua pertiga di Parlimen. Mana nada itu tidak didengar sepanjang setahun lalu kecuali kenyataan, pandangan dan keprihatinan untuk menang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Bagaimanapun situasi yang berbeza disaksikan sekitar jam 7 petang semalam.

Selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno, Najib melahirkan keyakinan akan memperoleh majoriti dua pertiga dengan syarat tiada unsur sabotaj dalam parti. Parti yang dimaksudkan Umno. Umno salah satu komponen Barisan Nasional (BN). Maknanya, ia merangkumi komponen-komponen perikatan itu secara keseluruhan.

Hari ini, beliau memberi peringatan kepada komponen BN.

Seminggu sebelum Perhimpunan Agung Umno, Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara, Profesor Ulung Datuk Shamsul Amri Baharuddin memberitahu bahawa BN akan memperoleh kerusi minimum 120 jika PRU diadakan sekarang.

Ia akan mengalami peningkatan apabila PRU13 dipanggil kemudian, katanya dengan merujuk kepada kajian beliau. PRU13 sudah jelas hanya akan diadakan tahun depan. Bukannya dalam tempoh 28 hari akan datang.

Seorang lagi penganalisis memberitahu bahawa kerusi selamat bagi BN bawah 100.

Melihat kepada pandangan-pandangan itu, Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel), Profesor Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman berpandangan BN pimpinan Najib perlu memperoleh majoriti dua pertiga untuk merekodkan "kemenangan moral."

"Najib kena menang besar. Jika tidak sukar bagi beliau, beliau perlu dua pertiga untuk kemenangan moral, lebih baik berbanding apa yang kita saksikan pada tahun 2008, masa Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi)," kata beliau Sinar Harian Online menjelang Perhimpunan Agung Umno.

Najib seolah-olah sudah yakin akan sampai ke angka itu selepas melaksanakan program trasformasi ekonomi dan politik sejak 2009.

PRU 2008 menyaksikan BN yang memperoleh 140 kerusi manakala 82 jatuh ke tangan pembangkang.

Pandangan itu juga tidak diketepikan oleh Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian.

Kata Ibrahim, "itu (menang dua pertiga kerusi Parlimen) KPI Najib."

"Saya melihat beliau hendak mencapai satu keputusan yang lebih baik berbanding ketika era Pak Lah. Saya rasa akan timbul satu harapan yang tinggi untuk memperoleh keputusan itu," kata beliau ketika dihubungi.

Di sebalik ucapan semalam, Najib memperlihatkan bahawa beliau yakin, tetapi sebenarnya beliau juga khuatir dan risau.

"Dalam ruang yang semakin sempit (menjelang PRU13), dan dalam keadaan pilihan raya umum ini sangat penting, saya rasa Najib perlu menyuntik keyakinan bahawa kita ada kemampuan untuk melakukan," kata Ibrahim lagi.

Jelas Ibrahim, Najib juga sedar bahawa beliau sudah tidak ada masa untuk hanya mengetengahkan masalah-masalah yang wujud di hadapan perwakilan Umno.

"Jadi, beliau menyuntik semangat dengan mengatakan boleh mencapai dua pertiga jika tiada sabotaj... ini suntikan semangat," katanya.

Berkongsi suasana persidangan dan perbahasan, ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Najib terpaksa mengetengahkan soalan cepumas apabila perwakilan tidak melontarkan ketegasan bahawa pihaknya akan 'menghukum' jika ada mana-mana pihak mensabotaj parti.

[BANCIAN ONLINE: Menjawab soalan cepumas DS Najib di AGM Umno, jika anda ahli Umno, pilihan anda:]

"Pada pandangan saya, kemungkinan Datuk Seri Najib telah mengharapkan perwakilan akan menyampaikan satu mesej bahawa jika ada mana-mana pihak mensabotaj, mereka akan menghukum... misalnya mereka tidak akan mengundi dalam pemilihan parti.

"Dan, saya merasakan, apabila ini tidak ada, beliau terpaksa menimbulkan soalan cepumas," katanya yang melihat ia akan mengikat mereka  dalam melahirkan sokongan padu kepada parti meskipun tidak dipilih sebagai calon kelak.

Pertengahan tahun ini, Umno menubuhkan panel khas untuk mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang sabotaj parti sebelum PRU13. Ia diketuai oleh pengerusi jawatankuasa disiplin.

Tahun lalu, ahli-ahli Umno berakhir dengan mengambil ikrar taat setia seperti yang ditekankan oleh Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kali ini, Muhyiddin menggariskan tujuh rukun untuk menang pilihan raya.

Ia disusuli dengan aspek "sikit khuatir" yang dibangkitkan oleh Najib dan beliau mahu kekhuatiran itu diatasi dengan menjawab soalan cepumas - yang diberikan lima pilihan.

Beliau dan penyokongnya sedar bahawa beliau tidak boleh kembali ke Dewan Merdeka tahun dengan hanya kemenangan tipis.

Sebab itu beliau menyasarkan majoriti dua pertiga seperti disebutkan semalam.

Najib, yang juga Pengerusi BN memerlukan kemenangan moral untuk terus mengetuai perikatan 13 parti itu dan Umno dengan selesa, kukuh dan stabil. Jika tidak beliau dalam dilema.

Beliau mahu mengelakkan nasib dialami Pak Lah.

Tiada ulasan: