KONGRES DAP dikemaskini Keahlian orang Melayu dalam DAP bukan lagi perkara luar biasa walaupun jumlah mereka belum lagi seramai keanggotaan kaum Cina atau India.

Malaysiakini  semalam bertemu beberapa di antara mereka di Kongres Kebangsaan ke-16 DAP di Pulau Pinang dan berpeluang memahami perkara yang menarik minat mereka untuk menyertai parti yang dilihat masih lagi didominasi oleh kaum bukan Melayu ini.

Zainal Mohd Nasir dapMohd Nasir Zainal, 54, (kiri) merupakan antara ahli pengasas bahagian Sungai Tong, Terengganu yang ditubuhkan pada tahun 2000.

Menurutnya, beliau berminat dengan sebuah parti yang menampilkan keahlian pelbagai kaum dan DAP merupakan pilihan terbaik.

Menurutnya beliau boleh memilih untuk menyertai PKR namun pada peringkat awal penubuhannya PKR dianggotai terlalu ramai bekas ahli Umno - dan ia bertentangan dengan prinsipnya yang tidak menyukai Umno.
Ditanya tentang pendirian DAP yang menolak pelaksanaan hudud, Nasir nyata tiada masalah dengan perkara itu kerana menurutnya pelaksanaan hudud itu sendiri tidak meliputi golongan bukan Islam.

"Hudud itu untuk orang Islam, untuk bukan Muslim saya rasa tiada masalah," katanya.

Menurutnya, beliau menghormati perjuangan PAS dalam isu hudud dan yakin parti itu akan mendapat persetujuan semua pihak sebelum melaksanakannya.

Mengimbau kembali awal penglibatannya, Nasir berkata beliau pernah ditanya ibu bapanya kenapa beliau "masuk parti Cina dan bukan parti Melayu".

"Saya beritahu mereka saya berminat dengan DAP.

"Sampai sekarang kadang kala masih ada pertanyaan sama daripada orang lain ada tapi mereka boleh terima penjelasan saya," katanya yang percaya bahawa perjuangan sesebuah parti itu lebih penting berbanding komposisi keahliannya.

othman salleh dapOthman Salleh, 52, (kanan), pula meminati DAP kerana imej bersih parti itu.

Dengan imej berkopiah, tiada sesiapa akan menyangka beliau seoarang ahli DAP.

Menurut Othman, beliau percaya penglibatannya dalam DAP memberikannya lebih ruang untuk menyumbang kepada masyarakat.

Namun, kadangkala beliau berhadapan cabaran menangkis persepsi orang ramai terhadap keahlian Melayu dalam DAP.

"Orang tak suka Melayu masuk DAP. Orang ingat masuk DAP macam tukar agama," katanya.

Bagaimanapun, beliau yakin kepentingan orang Melayu tetap terbela di bawah DAP kerana kepimpinan tertinggi parti terbukti mampu bekerjasama dengan pimpinan PKR dan PAS yang rata-ratanya Melayu.

Shari Othman, 58, juga mengiyakan kenyataan Othman.

Beliau yang mengasaskan cawangan Damansara Bistari SS2, Petaling Jaya Utara nyata gembira dengan penglibatan pemimpin setempat DAP dengan masyarakat Melayu di kawasannya.

"Sembelih lembu korban selama ini dapat seekor sahaja, tapi bawah DAP kami dapat dua ekor lembu dari YB Tony Pua," katanya.

Menurutnya, surau di kawasan Damansara Bistari juga telah menerima peruntukan sebanyak RM20 ribu di bawah pentadbiran DAP.

"Mana ada DAP anti-Melayu, anti-Islam. Umno yang anti-Islam," katanya.

Beliau turut gembira dengan gaya tadbir DAP yang tidak banyak kerenah birokrasi atau pilih bulu.

"DAP ini senang berurusan, tak banyak soal, lengkap (dokumen) apa yang diperlukan, permohonan kita diluluskan," katanya.

Laporan oleh Ahmad Fadli KC, Koh Jun Lin, Lee Long Hui, Low Chia Ming dan Susan Loone.