Dua bot yang berlabuh di Pelabuhan Perikanan Cendering di sini tenggelam akibat angin kencang dan ombak besar Isnin lepas.
  
Kedua-dua bot terbabit ialah TRS 749(U2) kapal menunggu peranti-peranti unjam dan TRS 889 pukat jerut C2 laut dalam.
  
Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri Mohd Saffe Mohd berkata usaha untuk menyelamatkan bot berkenaan telah dibuat tetapi gagal kerana angin kencang.
  
"Bot TRS 749(U2) itu hancur manakala bot TRS 889 pukat jerut C2 pula mengalami kerosakan dan tenggelam," katanya kepada Bernama hari ini.
  
Katanya semasa kejadian tiada orang atau anak kapal di dalam kedua-dua bot berkenaan dan usaha menimbulkan bot TRS 889 akan dilakukan apabila keadaan cuaca baik nanti.

Beliau berkata kejadian berlaku pada 6 pagi hari berkenaan apabila tali penambat bot terputus menyebabkan bot hanyut dan melanggar benteng pelabuhan.
  
Katanya badan bot peranti tersebut berkecai manakala bot pukat jerut mengalami kesosakan lalu tenggelam akibat kejadian di luar jangkaan itu.
  
Beliau berkata dalam keadaan sekarang, bot yang ditambat di semua pelabuhan LKIM di seluruh negeri ini, perlu diawasi selalu oleh pemiliknya.
  
"Mereka hendaklah pastikan bot ditambat dengan kemas bagi mengelak kejadian seumpama itu berlaku," katanya.
  
Dalam perkembangan lain, beliau menasihatkan nelayan berehati-hati keluar ke laut bagi mengelak kejadian tidak diingini memandangkan cuaca tidak menentu sekarang ini.- Bernama