Ahad, 1 Ogos 2021

‘Inilah bantuan tunai terbesar dalam sejarah’

HARAKAH DAILY
Foto Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) telah menyalurkan bantuan tunai terbesar dalam sejarah negara dengan jumlah RM18 bilion yang memanfaatkan 11 juta penerima.

Menurut Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kerajaan juga buat pertama kali turut membantu golongan M40 yang turut terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

“Inilah bantuan tunai terbesar dalam sejarah negara. Buat pertama kalinya juga, Kerajaan turut membantu isi rumah M40 yang telah turut terkesan dengan pelaksanaan PKP pada tahun lepas.

“Bantuan BPN telah banyak memberi kelegaan kepada rakyat malah ada juga yang menggunakannya sebagai modal untuk berniaga kecil-kecilan.

“Kini, di bawah pakej PEMULIH (Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi), Kerajaan terus membantu rakyat kumpulan B40 dan M40 melalui tiga lagi program bantuan tunai iaitu Bantuan Prihatin Rakyat, Bantuan Khas Covid-19 dan Bantuan Kehilangan Pendapatan.

“Bayaran di dalam separuh kedua tahun 2021 di bawah ketiga-tiga program ini bernilai RM10 bilion.

“Insha-Allah setiap bulan mulai bulan Julai hinggalah Disember, bantuan Kerajaan adalah berterusan bagi mengurangkan kos sara hidup mereka,” ujarnya ketika memberi penerangan di Sidang Khas Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah beliau, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) merupakan sebuah inisiatif bantuan tunai dengan kadar antara RM450 hingga RM2,300 untuk 8.4 juta penerima B40.

Sementara itu, Bantuan Khas Covid-19 (BKC) adalah bantuan tunai secara one-off di bawah pakej PEMULIH yang akan memanfaatkan 11.4 juta penerima.

Istimewanya, penerima BKC merupakan penerima BPR sedia ada dan layak diterima secara automatik, malah turut dinikmati oleh kumpulan M40, kata beliau.

“Insya-Allah, BKC pada kadar antara RM250 hingga RM1,300 akan mula disalurkan pada bulan Ogos, November dan Disember.

“Bantuan Kehilangan Pendapatan yang berjumlah RM500 akan diberikan kepada mana-mana individu yang telah diberhentikan kerja atau tiada lagi caruman di KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) ataupun PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial), sekurang-kurangnya tiga bulan berturut-turut sepanjang tahun 2021. Pembayaran akan dibuat pada bulan Oktober nanti,” ujarnya. – HARAKAHDAILY

Masih banyak pusat jagaan warga emas, OKU di Petaling Jaya tak respons panggilan vaksinasi

Ahmad Mustakim Zulkifli

Dari 1,000 rumah jagaan warga emas dan OKU di daerah itu, hanya 200 yang beri maklum balas untuk vaksinasi.

Pusat jagaan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) di daerah Petaling Jaya diseru untuk memberi maklum balas kepada pejabat kesihatan daerah untuk membolehkan pemberian vaksin dijalankan untuk penghuni pusat-pusat tersebut.

Pegawai Perubatan dari pejabat kesihatan Petaling Jaya, Dr. Yaacub Ibrahim berkata hanya 200 daripada 1,000 rumah jagaan yang memberi respons kepada usaha vaksinasi khas untuk premis-premis tersebut sejak dimulakan pada Jun lalu.

“Kita menghantar kakitangan ke rumah warga emas kerana mereka tidak boleh ke pusat vaksinasi akibat kekangan-kekangan tertentu.

“Meskipun begitu, masih banyak rumah jagaan orang tua dan OKU yang tidak membalas panggilan kami,” katanya ketika ditemui MalaysiaNow.

Katanya, kekangan dari segi komunikasi antara faktor utama tiada maklum balas dari pusat-pusat jagaan.

“Kita telefon namun pihak pengurusan tidak menjawab panggilan.

“Semua pihak perlu daftar untuk program vaksin. Bagi mereka yang boleh jalan, daftarlah di MySejahtera dan bagi mereka yang tidak boleh berjalan, hubungi pejabat kesihatan terdekat. Kita akan sediakan kakitangan untuk ke rumah,” katanya.

Seorang warga emas dari Pertubuhan Kebajikan Warga Emas 
Kenangan Budi Kuala Lumpur di Petaling Jaya menerima 
vaksin Pfitzer Bio-NTech. dari petugas kesihatan.

Setakat ini, beberapa pasukan telah melawat ke 151 rumah di Petaling Jaya, dan sudah menjalankan 4,000 dos suntikan vaksin.

Walaupun kurang maklum balas diterima dari rumah jagaan, para penghunginya merasa bersyukur selepas menerima suntikan vaksin Covid-19.

Seorang warga emas yang menggunakan kerusi roda, Zainuddin Mirza Said, 92 berkata dia bersyukur kerana boleh menerima kedua-dua dos di rumah jagaan dan tidak perlu ke pusat pemberian vaksin.

“Saya tidak rasa apa-apa simptom, semua baik sahaja. Nasihat saya, semua orang Malaysia mesti ambik vaksin dan hentikan wabak ini,” katanya ketika ditemui di rumah jagaan Heritage Senior Care Centre di Petaling Jaya.

Sementara itu, salah seorang penjaga di rumah jagaan warga emas Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Kenang Budi Kuala Lumpur, Wong Keng Sheng melahirkan rasa lega kerana kesemua 15 penghuni di rumah jagaan itu telah menerima dua dos vaksin.

“Kita mempunyai warga emas yang berisiko dari segi kesihatan seperti kencing manis dan darah tinggi. Antara mereka ada yang dibuang keluarga atau tinggal bersendirian.

“Selepas program ini dibuka, kita terus mohon untuk rumah ini. Tak sampai dua minggu kita sudah dapat dos pertama,” katanya.

Semasa membentangkan penerangan berkaitan program vaksinasi negara di Dewan Rakyat semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata program imunisasi terbesar negara itu setakat ini menyaksikan peratusan penduduk Malaysia yang menerima vaksin bagi sekurang-kurangnya satu dos mengatasi beberapa negara maju seperti Jepun, Australia, Korea Selatan dan New Zealand.

Sambil menerangkan kronologi program dengan peruntukan RM5.8 bilion itu, Khairy berkata pada awalnya sasaran 80% penduduk menerima vaksin dijangka diselesaikan pada Februari tahun hadapan, namun tempoh masa itu disingkatkan kepada Disember 2021 setelah mengambil kira perkembangan semasa jangkitan.

“Garis masa ini disingkatkan lagi untuk kita selesaikan menjelang Oktober ini,” katanya yang juga menteri sains, teknologi dan inovasi.

JK Bebas Darurat melapor kepada Agong, bukan kerajaan, kata ahli

Staff Writers

Menurut Loke, kali terakhir jawatankuasa itu bermesyuarat adalah dua minggu lalu.

Setiausaha Organisasi DAP dan Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook. Gambar: Bernama

Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke hari ini menegaskan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat melaporkan dapatannya kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan tidak tertakluk kepada kerajaan.

Loke yang juga ahli jawatankuasa itu berkata, mereka sudah selesai menjalankan tugas menasihati serta mempersembahkan laporan dan perkara yang diputuskan dalam mesyuaratnya kepada Agong.

“Ingin saya tegaskan di sini, tugas jawatankuasa ini adalah untuk menasihati Agong bukannya kerajaan. Kita tidak melaporkan kepada kerajaan tetapi terus kepada Agong.

“Apa yang diputuskan oleh jawatankuasa ada pandangan kita sendiri, jadi terpulang kepada Agong. Kerja kita adalah menasihati Agong,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Menurut Loke, kali terakhir jawatankuasa itu bermesyuarat adalah dua minggu lalu.

Bagaimanapun, ahli Parlimen Seremban itu enggan mendedahkan hasil keputusan jawatankuasa tersebut kerana terikat dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

“Perincian lanjut mengenai laporan itu kena tanya Tun Arifin Zakaria,” katanya.

Katanya, ia terpulang kepada Arifin sama ada mahu mendedahkan laporan itu atau sebaliknya.

Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 ditubuhkan pada Februari lalu mengikut Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Keanggotaan jawatankuasa tersebut adalah terdiri daripada pakar kesihatan dan wakil dwi-partisan kerajaan dan pembangkang dan dipengerusikan bekas ketua hakim negara Arifin Zakaria.

Loke merupakan wakil Pakatan Harapan (PH) dalam jawatankuasa itu dari DAP bersama-sama dengan Saifuddin Nasution Ismail dari PKR dan Dzulkefly Ahmad dari Amanah.

Aksi derhaka! Berkali-kali Agong titah rakyat jelata patuhi SOP

Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim

Bukan saja langgar undang-undang, tapi tindakan bodoh tak bertempat

1. KALAU nak lawan kerajaan biarlah Ahli Parlimen pembangkang yang kalian pilih memainkan peranan mengikut saluran undang-undang dan Perlembagaan negara.

2. Perhimpunan beramai-ramai atas apa sahaja tujuan ketika kes COVID -19 sedang mencanak naik bukan sahaja melanggar undang-undang negara, tapi adalah satu tindakan bodoh tak bertempat.

3. Ia juga aksi derhaka yang amat jelas terhadap YDPA yang berkali-kali menitahkan seluruh rakyat jelata mematuhi SOP bagi memutuskan rantaian COVID-19.

4. Sudahlah bodoh, tidak beradab pula. Pelbagai simbol lucah, jeritan tidak sopan dan tindakan liar yang berlaku membuktikan pakej lengkap pemimpin anak muda yang ingin menggantikan Perdana Menteri setelah berjaya ditumbangkan nanti.

5. Malaysia tidak pernah menolak kebebasan bersuara. Malah PDRM bertindak penuh sopan dengan Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakimsekadar mengawal suasana walaupun demonstrasi ini tidak mendapat permit polis.

6. Cuma ia tidak kena cara dan masanya. Kalau nak tunjuk perasaan, banyak lagi medium lain yang boleh digunakan. Kalian kata kalian kuasai media sosial dan gelombang anak muda!

7. Siapa sebenarnya dalang di belakang demonstrasi kali ini? Sudah tentulah parti-parti politik pembangkang yang bersembunyi di sebalik Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) sebagai penganjur utama.

8. Kononnya mewakili suara rakyat. Tapi bila masa pula rakyat Malaysia yang berjumlah 32 juta orang mewakilkan mereka yang sekadar berjumlah beberapa ratus orang yang kasar dan kelihatan tidak bertamadun ini?

9. Apa pun pihak penganjur harus bertanggungjawab dan bersedia menanggung sebarang akibat atas kerja sia-sia ini termasuk kewujudan kluster demo lawan nanti.

10. Syabas dan tahniah kepada pihak berkuasa yang telah menahan beberapa orang pemimpin perhimpunan untuk disoal siasat. Semoga tindakan undang-undang yang sewajarnya bakal dikenakan.ISMA WEB

 (*) Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim, Setiausaha Agung BERJASA,

SIRIM bantu bangunkan vaksin COVID-19

azrulhakimie

Akan jalankan kerjasama dengan IMR, UPM dan Institut Veterinar Ipoh

SHAH ALAM – SIRIM Bhd akan bekerjasama dengan institusi tempatan dalam kajian di peringkat permulaan pembangunan vaksin COVID-19 di Malaysia, kata Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad.

Ahmad Sabirin berkata tiga institut yang terlibat iaitu Institut Kajian Perubatan (IMR), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Institut Veterinar di Ipoh, Perak serta SIRIM berupaya melaksanakan pengujian bagi vaksin yang dibangunkan oleh tiga agensi ini.

“SIRIM sedia memainkan peranan penting dalam memberi keyakinan kepada pembangunan vaksin tempatan, agar mematuhi standard antarabangsa bagi keselamatan, keberkesanan dan proses pembuatan.

“SIRIM telah mengadakan perbincangan dengan pihak IMR untuk turut sama menyumbang dalam pembangunan vaksin tersebut di peringkat pra-klinikal sebelum ‘clinical trials’ dan peringkat penghasilan vaksin pada skala pilot,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Program Vaksinasi Pandu Lalu SIRIM-Vaksin Selangor (Selvax) yang berlangsung selama satu hari di Ibu Pejabat SIRIM, di sini yang dikendalikan oleh Selgate Healthcare Sdn Bhd.

Ahmad Sabirin berkata SIRIM juga mempunyai fasiliti untuk menjalankan ujian berkenaan di Pusat Penyelidikan Bioteknologi Perindustrian Pengurusan (IBRC) yang telah memenuhi kriteria makmal ujian yang diperlukan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Kita punya fasiliti IBRC di SIRIM ini…di mana kita mempunyai kelengkapan yang komprehensif di Malaysia bagi pengujian vaksin di negara ini, jadi kita cuba bekerja secara kolaboratif dengan semua agensi yang ada,” katanya.

Sebelum ini Ahmad Sabirin berkata SIRIM telah melaksanakan pelbagai peringkat ujian ke atas vaksin Sinovac untuk mengesahkan proses serta memastikan produk akhir vaksin itu adalah selamat dan berkesan kepada penerima.

Ahmad Sabirin berkata ujian ke atas vaksin Sinovac yang diamanahkan kepada SIRIM melibatkan keperluan fasiliti yang lengkap dan makmal berstatus Amalan Makmal Baik (GLP).

Jelasnya, SIRIM menghasilkan data sokongan untuk proses pengesahan dan pemeriksaan kualiti untuk kumpulan vaksin ‘fill’ and ‘finish’, manakala NPRA memeriksa data tersebut secara terperinci sebelum membuat keputusan untuk meluluskan vaksin ataupun tidak.

“Bagi ujian ketoksikan, SIRIM menjalankan ujian Abnormal Toxicity di mana kumpulan vaksin yang telah ‘fill’ and ‘finish’ mengikut kumpulan kestabilan tertentu, manakala untuk pengujian keberkesanan, ujian ‘Immunoassay Relative Potency’ dijalankan, di mana vaksin secara pukal yang diterima bersama vaksin rujukan (reference vaccine),” katanya. – Bernama

MAIPs arah masjid di Kuala Perlis hadkan aktiviti imarah, ketatkan SOP

azrulhakimie

Susulan peningkatan kes jangkitan di Kuala Perlis dan kawasan sekitar

KANGAR– Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengarahkan semua masjid di Kuala Perlis mengehadkan aktiviti pengimarahan masjid dan ketatkan prosedur operasi standard (SOP) bermula hari ini.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah tindakan tersebut diambil susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 di Kuala Perlis dan kawasan sekitarnya.

“Semua masjid di Kuala Perlis dan sekitarnya terlibat dengan arahan pelaksanaan aktiviti pengimarahan secara terhad dan SOP diperketatkan bermula waktu solat zohor hari ini sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kemudian,” titah baginda menerusi kenyataan yang dikeluarkan MAIPs hari ini.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah enam masjid yang terlibat ialah Masjid Rahmaniah, Kuala Perlis; Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Seberang Ramai; Masjid Terapung Al-Hussain; Masjid Al-Firdaus, Padang Besar Selatan; Masjid Al-Munir, Jalan Batu Lima dan Masjid Al-Mukminin, Kota Kayang.

Titah baginda mereka yang berada dalam kawasan terlibat dilarang keluar dari kariah untuk menunaikan solat atau hadir mengimarahkan masjid di tempat lain.

Baginda bertitah orang ramai diminta segera membuat laporan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) sekiranya terdapat individu yang melanggar ketetapan tersebut.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah hanya pegawai bertugas (imam, bilal dan siak) serta jemaah yang terdiri daripada kalangan jawatankuasa kariah masjid tidak melebihi 12 orang sahaja dibenarkan melaksanakan aktiviti solat jemaah.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis dalam kenyataan semalam berkata sebanyak 16 kes baharu COVID-19 dikesan di negeri ini semalam.

Kenyataan tersebut menasihati orang ramai agar terus berwaspada dan jangan alpa, khususnya apabila berada bersama individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan yang tinggi kes COVID-19.

“Semua individu yang pulang dari luar Perlis diminta untuk menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari,” katanya. – Bernama

Dakwaan dilantik PM interim hanya khabar angin: Ismail Sabri

Siti Hafidah

Kemungkinan dakwaan dibuat bagi pecah belahkan, keruhkan suasana dalam kerajaan

BERA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini, menyifatkan dakwaan dirinya akan dilantik sebagai Perdana Menteri interim hanya sebagai khabar angin yang tular di portal media dan media sosial.

Beliau berpandangan bahawa dakwaan itu berkemungkinan dibuat bagi memecahbelahkan atau mengeruhkan suasana dalam kerajaan, yang sedang berusaha menangani permasalahan lebih besar iaitu penularan COVID-19 dan kesusahkan rakyat dalam situasi pandemik sekarang.

“Saya juga difahamkan dalam Perlembagaan Persekutuan, tiada istilah Perdana Menteri atau kerajaan interim…itu saya anggap hanya khabar angin. Kita tidak perlu layan bila ada pihak yang hendak memecahbelahkan kerana jika dilayan, ia akan bertambah teruk.

“Jangan terlalu ikut dengan apa yang digembar-gemburkan kerana tindakan yang sepatutnya ialah mendamaikan atau menyejukkan suasana. Mari kita bersatu kerana tanggungjawab kita lebih besar dan kenapa tidak kita fokus kepada perkara tersebut,” katanya.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan bakul makanan kepada golongan memerlukan di Masjid Charuk Puting serta meninjau pelaksanaan jambatan Guai di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan di portal media semalam, bahawa dirinya mempunyai sokongan kuat dalam kalangan anggota Kabinet untuk dilantik sebagai Perdana Menteri interim bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan dakwaan rundingan mengenainya sedang berjalan di peringkat kepimpinan Perikatan Nasional (PN).

Dalam perkembangan berasingan, Ismail Sabri berkata, isi kandungan surat bertarikh 29 Julai lepas, yang menggunakan logo Barisan Nasional (BN) pada kepala suratnya, mengenai 40 ahli Parlimen parti itu menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, sebagai sah.

Katanya, surat yang meletakkan namanya pada bahagian bawah sebagai ‘penghantar’, dibuat selepas bertemu dan mendapatkan persetujuan 39 ahli Parlimen BN terlibat, menyebabkan beliau berpandangan kenyataan Setiausaha Eksekutif BN Mohamad Shafri Ab Aziz bahawa surat itu palsu hanya berkaitan isu penggunaan kepala surat berkenaan.

“Bila saya hendak buat kenyataan akhbar, nak guna letter head (kepala surat) apa? Letter head BN lah kerana saya dan MP yang lain juga adalah dari BN. Bagi saya, tidak timbul isu kerana yang penting ialah isi kandungannya iaitu 40 orang daripada 42 ahli Parlimen BN menyokong kerajaan yang ada pada hari ini,” katanya.

Ismail Sabri berpandangan perkara itu juga tidak bertentangan dengan ketetapan Majlis Tertinggi UMNO yang memberi kebebasan kepada Ahli Parlimennya selain menteri dari parti itu tidak perlu meletak jawatan.

“… dari sudut undang-undang jika menarik sokongan (terhadap) Perdana Menteri, maka kerajaan akan tumbang dan ahli Parlimen terlibat berpandangan kita menyokong kerajaan supaya tidak tumbang,” katanya. – Bernama

Perak bakal saksikan peningkatan kes beberapa minggu akan datang

 ainulillia

Penggunaan katil ICU melebihi 100 peratus dengan kadar purata 7 hari

IPOH – Perak dijangka menyaksikan peningkatan kes COVID-19 dalam beberapa minggu akan datang, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, terdapat peningkatan kes positif di negeri itu sejak akhir-akhir ini dan beliau menjangkakan jumlahnya akan meningkat dalam dua hingga tiga minggu ke depan.

“Akhir-akhir ini ada peningkatan kes, termasuk di Kategori Empat dan Lima yang memerlukan rawatan kritikal.

“Pada 31 Julai, terdapat 121 pesakit yang kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan kadar rata-rata penggunaan katil ICU melebihi 100 peratus dengan kadar purata 7 hari,” katanya dalam catatan Facebook pada Sabtu malam (31 Julai).

Beliau berkata, jabatan kesihatan negeri dan pelbagai agensi sedang berusaha untuk menghadapi peningkatan jumlah kes COVID-19 yang dijangka berlaku dalam dua hingga tiga minggu ke depan.

Dr Noor Hisham juga mengunjungi Rumah Sakit Raja Permaisuri Bainun, Rumah Sakit Taiping, Rumah Sakit Tapah dan Hospital Slim River untuk memeriksa persiapan menghadapi lonjakan kes.

Perak mencatatkan 775 kes harian baharu pada hari Sabtu, dengan jumlah terkumpul sekarang pada 37,679 kes di negeri ini sejak wabak itu bermula.

Kini terdapat 28 kelompok aktif di negeri ini.

Dr Noor Hisham juga mengatakan ruang operasi telah disediakan untuk memastikan terdapat katil yang mencukupi untuk merawat pesakit di negeri ini.

Beliau memaklumkan bahawa sejumlah 265 katil, termasuk 42 di ICU, telah diperuntukkan untuk pesakit COVID-19.

Vaksinasi harian COVID-19 melebihi 500,000 dos enam hari berturut-turut

azrulhakimie

Secara kumulatif 20,533,660 dos sudah diberi kepada penduduk di negara ini

KUALA LUMPUR – Jumlah vaksinasi harian COVID-19 di negara ini mencatat angka melebihi 500,000 dos selama enam hari berturut-turut dengan 519,111 dos suntikan diberikan semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi perkongsian infografik di Twitternya berkata daripada jumlah yang diberikan semalam, sebanyak 316,492 adalah dos pertama manakala 202,619 lagi dos kedua.

Secara kumulatifnya, sebanyak 20,533,660 dos sudah diberikan kepada penduduk di negara ini sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dimulakan pada 24 Februari lalu.

Jumlah itu meliputi 13,816,971 untuk suntikan vaksin dos pertama, manakala 6,716,689 lagi bagi dos kedua. – Bernama

Rumah agam Anwar boleh jadi pusat kuarantin peserta baju hitam


Rumah agam Anwar Ibrahim boleh menjadi pusat kuarantin geng baju hitam yang berdemonstrasi di Kuala Lumpur pada Sabtu jika mereka dijangkiti varian Delta Covid-19.

Orang ramai bimbang penularan besar-besaran jangkitan Covid-19 susulan perhimpunan haram kumpulan baju hitam di ibu kota semalam, ia memandangkan varian Delta yang cepat merebak disamping Kuala Lumpur serta Selangor dikategorikan sebagai pusat penularan utama.

Untuk rekod, Selangor dan Kuala Lumpur mencatatkan kes tertinggi harian saban hari, malah tidak menunjukkan tanda ia akan menurun walaupun negara sedang dikenakan perintah kawalan pergerakan.

Semalam, negara merekodkan kes baru sebanyak 17,786 menjadikan kes keseluruhan Covid-19 meningkat sebanyak 1,113,272.

Selangor kekal mencatat kes harian tertinggi sebanyak 6,400 disusuli Kuala Lumpur (1,962).

Ratusan peserta himpunan yang berkumpul di Kuala Lumpur dan berarak ke Dataran Merdeka tanpa penjarakan sosial, duduk bersesak-sesak dan bersentuhan antara satu sama lain.

Beberapa pemimpin utama blok pembangkang khususnya daripada PKR didapati turut serta dalam himpunan semalam, antaranya Naib Presiden PKR Tian Chua dan Setiausaha Parlimen kepada Ketua Pembangkang, Abd Malek Hussin.

Sekiranya terdapat jangkitan dikalangan peserta himpunan haram semalam ia pastinya berisiko tinggi turut menjangkiti orang ramai yang lain dan lebih malang lagi kapasiti di pusat kuarantin juga semakin penuh dengan pesakit, malah hospital di Lembah Klang juga berada pada keadaan kritikal.

Para petugas barisan hadapan juga pastinya akan bertambah letih dan tertekan sekiranya muncul kluster baharu daripada peserta baju hitam ini, tidak kurang dalam media sosial sudah banyak kecaman dan kritikan dibuat terhadap mereka.

Bagaimanapun, kumpulan baju hitam nampaknya masih berdegil dan enggan mengakui kesalahan mereka dalam menganjurkan perhimpunan haram tersebut dengan cuba berselindung kononnya bagi berjuang untuk rakyat walhal umum mengetahui ia sebenarnya didalangi oleh pemimpin blok pembangkang.

Kemunculan dua orang kuat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa perhimpunan tersebut memperlihatkan motif sebenar blok pembangkang yang menjadikan peserta baju hitam sebagai boneka dan alat politik untuk memuaskan nafsu serakah mahu merampas kuasa.

Sekiranya terdapat individu atau kumpulan yang positif daripada kalangan peserta baju hitam, dicadangkan rumah agam Anwar yang terletak di Bukit Segambut boleh dijadikan penempatan sementara untuk dikuarantin.

Rumah agam tersebut memiliki banyak bilik kosong yang tidak didiami dengan berkeluasan 1.047 ekar, malah ia juga memiliki kolam renang bagi memberikan kemudahan kepada peserta baju hitam untuk beriadah sekiranya bosan dalam tempoh kuarantin.

Laporan portal MalaysiaNow sebelum ini mendedahkan rumah agam milik Anwar di Bukit Segambut, Kampung Segambut Dalam di Kuala Lumpur mahu dijual kepada umum dengan harga RM12 juta.

Difahamkan, harga asal jualan rumah itu adalah RM15 juta, akan tetapi dikurangkan kepada RM12 juta di laman Mudah.my, menurut laporan portal tersebut.

Sebelum menjual rumah itu, mungkin Anwar boleh menawarkan kepada peserta baju hitam sekiranya didapati positif boleh menjalani kuarantin di rumah tersebut, ia juga tanda solidariti kepada penyokong yang berjuang untuk beliau diangkat sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat dan sentiasa mendengar denyut nadi rakyat, Anwar pastinya rela berkongsi rumah agamnya itu dengan peserta baju hitam sekiranya didapati positif Covid-19.

Agenda Daily menyediakan alamat untuk peserta baju hitam menjalani kuarantin sekiranya semua Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid penuh, peserta baju hitam jangan malu dan segan untuk menjalani kuarantin di rumah agam yang cantik milik Anwar.

Alamat: No 11, Jalan 4/61, Bukit Segambut, Kampung Segambut Dalam, 51200, Kuala Lumpur. Peta juga disediakan untuk melawati rumah agam tersebut.