PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik menyifatkan Pakatan Harapan (PH) penakut kerana tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini, sedangkan ia patut bertanding untuk mengaktifkan jentera parti selepas desas-desus berhubung pilihan raya umum mengejutkan.
Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia berkata BN dijangka memenangi PRK Chini, cuma yang menjadi persoalannya sama ada 2 calon bebas itu akan hilang deposit mereka.
“Satu kerugian besar bila PH tidak meletakkan calon kerana ia menidakkan peluang untuk mengukur kekuatan PH dan kesepaduan Perikatan Nasional (PN),” katanya kepada FMT.
“Jika ada calon bebas yang mampu kekalkan wang pertaruhan, maka ini boleh digunakan PH sebagai petunjuk untuk memperkecilkan pengaruh BN kerana dalam PRU14 calon PH hilang wang pertaruhan.”
PRK Chini menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara calon BN, Mohd Sharim Md Zain bersama 2 calon bebas, Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli.
Chini antara 4 kerusi Dewan Undangan Negeri di bawah Parlimen Pekan yang diwakili bekas perdana menteri, Najib Razak.
PRK Chini diadakan susulan kematian penyandangnya, Abu Bakar Harun akibat serangan jantung pada 7 Mei lalu.
Abu Bakar yang mewakili BN pada PRU 2018 meraih majoriti 4,622 undi, mengetepikan calon PAS yang mendapat 5,405 undi dan calon PKR mewakili PH yang meraih 1,065 undi.
Sementara itu, Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata PRK Chini peluang terbaik BN dan Umno mempamerkan kekuatannya dalam PN.
“Ini adalah kerana kemenangan besar di Chini boleh dijadikan modal rundingan kerusi PRU15, jika BN berada dalam PN menjelang PRU akan datang.
“Ada juga yang membuat telahan keputusan Chini akan pamer kekuatan PN, tetapi perlu berhati-hati kerana salah seorang calon bebas mempunyai kaitan yang agak kuat dengan PPBM.”
Disebabkan pencabar BN ialah 2 calon bebas, katanya, parti itu perlu meraih majoriti besar, melebihi majoriti pada PRU14.
“Mengapa jumlah majoriti adalah penting? Ia kerana Umno khususnya dan Muafakat Nasional (MN) amnya mempunyai pengaruh kukuh di kalangan pengundi Melayu luar bandar.
“Senario politik ketika PRK Tanjung Piai adalah berbeza ketika ini kerana BN dan MN sudah berada dalam PN, iaitu sebahagian daripada kerajaan.”
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya pula berkata, PRK Chini memperlihatkan kesan besar kerjasama PPBM dan MN atas nama PN.
“Keputusan PH tak bertanding akan menyebabkan undi tersebut beralih kepada 2 calon bebas.
“Namun, isu calon perdana menteri PH dijangka menyebabkan ramai penyokong PH protes tak mahu keluar mengundi atau tukar undi kepada BN.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan