Bekas
ketua pemuda Gerakan Pulau Pinang Jason Loo menggesa presiden parti
Dominic Lau disingkir dan digantikan kerana telah "memalukan dan
merosakkan" parti.
Dalam surat terbuka yang ditujukan kepada
calon-calon pusat Gerakan yang dikongsi di Facebook, Loo menyebut Lau
sebagai "bodoh" serta menyifatkan Lau sebagai gila publisiti.
Loo yang juga merupakan ketua Cabang Gerakan Jalan Muntri berkata ini menjadikan usaha menghidupkan kembali parti sia-sia.
"Tukar presiden sekarang atau Gerakan akan menjadi parti usang selamanya.
"Hentikan kegilaan publisitinya sekarang kerana dia telah memalukan parti secara terbuka.
"Dia
tidak memiliki ketajaman politik. Dia tidak mempunyai hala tuju
politik. Dia tidak mempunyai pertimbangan politik. Dia tidak mempunyai
rancangan. Dia tidak mempunyai strategi. Dia tidak ada idea,” kata Loo.
"Dia
membuang banyak masa yang diperlukan untuk kebangkitan semula Gerakan.
Kita tidak boleh membuang masa kita kepadanya,” tambahnya.
Bercakap kepada News Straits Times, Loo menyifatkan Lau sebagai "oportunis" yang ingin meminta bantuan daripada pemimpin semasa.
"Kebelakangan
ini, dia dipandang sebagai oportunis dengan berusaha mendapatkan
sokongan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dengan mengundangnya
sebagai tetamu kehormat di Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Gerakan,
menyatakan sokongan kepada Anwar Ibrahim di Pilihan Raya Kecil Port
Dickson, menawarkan Mohamed Azmin Ali tempat di Gerakan semasa 'Langkah
Sheraton' dan yang terbaru, menyatakan sokongan terhadap Muhyiddin
Yassin sebagai perdana menteri.
"Seseorang tidak boleh menjadi terlalu tidak berprinsip dalam politik tetapi Lau berjaya melakukannya.
"[...] Kepemimpinan sekarang gagal memenuhi harapan pendirian Gerakan. Mereka hanya mengejar kepentingan diri," katanya.
Sedangkan,
kata Loo, pemimpin parti itu sebelum ini - Syed Hussein Alatas, Lim
Chong Eu dan Lim Keng Yaik - merupakan individu yang mempunyai visi dan
reformis.
Lau mengambil alih jawatan presiden Gerakan pada
November 2018 setelah parti itu kalah kesemua kerusi dalam pilihan raya
umum ke-14 dan seterusnya meninggalkan gabungan BN.
Susulan
pertukaran kerajaan baru-baru ini, Gerakan di bawah kepimpinan Lau,
telah mengumumkan sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin kini memimpin kerajaan Perikatan Nasional, yang juga terdiri daripada parti komponen BN.
Lau juga menyorot bahawa Gerakan tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan parti politik lain "demi kepentingan rakyat".