Bekas ketua pemuda Gerakan Pulau Pinang Jason Loo menggesa presiden parti Dominic Lau disingkir dan digantikan kerana telah "memalukan dan merosakkan" parti.
Dalam surat terbuka yang ditujukan kepada calon-calon pusat Gerakan yang dikongsi di Facebook, Loo menyebut Lau sebagai "bodoh" serta menyifatkan Lau sebagai gila publisiti.
Loo yang juga merupakan ketua Cabang Gerakan Jalan Muntri berkata ini menjadikan usaha menghidupkan kembali parti sia-sia.
"Tukar presiden sekarang atau Gerakan akan menjadi parti usang selamanya.
"Hentikan kegilaan publisitinya sekarang kerana dia telah memalukan parti secara terbuka.
"Dia tidak memiliki ketajaman politik. Dia tidak mempunyai hala tuju politik. Dia tidak mempunyai pertimbangan politik. Dia tidak mempunyai rancangan. Dia tidak mempunyai strategi. Dia tidak ada idea,” kata Loo.
"Dia membuang banyak masa yang diperlukan untuk kebangkitan semula Gerakan. Kita tidak boleh membuang masa kita kepadanya,” tambahnya.
Bercakap kepada News Straits Times, Loo menyifatkan Lau sebagai "oportunis" yang ingin meminta bantuan daripada pemimpin semasa.
"Kebelakangan ini, dia dipandang sebagai oportunis dengan berusaha mendapatkan sokongan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dengan mengundangnya sebagai tetamu kehormat di Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Gerakan, menyatakan sokongan kepada Anwar Ibrahim di Pilihan Raya Kecil Port Dickson, menawarkan Mohamed Azmin Ali tempat di Gerakan semasa 'Langkah Sheraton' dan yang terbaru, menyatakan sokongan terhadap Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.
"Seseorang tidak boleh menjadi terlalu tidak berprinsip dalam politik tetapi Lau berjaya melakukannya.
"[...] Kepemimpinan sekarang gagal memenuhi harapan pendirian Gerakan. Mereka hanya mengejar kepentingan diri," katanya.
Sedangkan, kata Loo, pemimpin parti itu sebelum ini - Syed Hussein Alatas, Lim Chong Eu dan Lim Keng Yaik - merupakan individu yang mempunyai visi dan reformis.
Lau mengambil alih jawatan presiden Gerakan pada November 2018 setelah parti itu kalah kesemua kerusi dalam pilihan raya umum ke-14 dan seterusnya meninggalkan gabungan BN.
Susulan pertukaran kerajaan baru-baru ini, Gerakan di bawah kepimpinan Lau, telah mengumumkan sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin kini memimpin kerajaan Perikatan Nasional, yang juga terdiri daripada parti komponen BN.
Lau juga menyorot bahawa Gerakan tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan parti politik lain "demi kepentingan rakyat".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan