Oleh Azizul Osman
SHAH ALAM: Bekas pemimpin DAP Tunku Aziz Tunku Ibrahim tidak percaya
bahawa hanya 300,000 tandatangan palsu yang diperoleh Deklarasi Rakyat
dalam menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Sebaliknya ujar beliau, mungkin kesemua tandatangan itu adalah palsu,
selepas pendedahan pengatur cara komputer bebas Azharuddin Othman
mengaku terlibat dengan urus niaga menjual pangkalan data penduduk
negara kepada kumpulan berkenaan.
"Saya tidak percayalah kalau kata 300,000 sahaja (tanda tangan yang
palsu), saya ingat lebih dari itu. (Malah mungkin) semua tanda tangan
itu palsu," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Semalam Mahathir mengakui sekretariat Deklarasi Rakyat berjaya mengesan
sebanyak 300,000 tandatangan palsu berjaya dibuang dan menyifatkan ada
pihak tertentu sengaja melakukan pemalsuan tandatangan Deklarasi Rakyat
itu secara terancang bagi menggagalkan usaha menjatuhkan Najib.
Malah Tunku Aziz mempersoalkan sistem yang digunakan kumpulan itu dalam
menggulingkan Najib, selain menganggap dokumen tersebut sudah lagi
tidak berharga kerana didapati mengemukakan tandatangan palsu.
"Kalau 50 tanda tangan yang palsu pun, dokumen itu sudah tidak berharga
lagi tambah pula dia (Tun Mahathir) mengaku 300,000 (yang palsu).
"Kalau satu atau dua juta turunkan tanda tangan Deklarasi Rakyat mana
boleh jatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, siapa yang
menjatuhkan dia, apa undang-undangnya?" soal Panel Penasihat Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.
Tunku Abdul Aziz sebelum ini pernah membuat satu laporan polis terhadap
Mahathir pada 23 Mei lalu ekoran kenyataan Mahathir mendakwa beliau
gagal mendapat perkenan mengadap Yang diPertuan Agong, Tuanku Abdul
Halim Mu’adzam Shah untuk menyerahkan lebih sejuta tandatangan menuntut
pengunduran Najib memandangkan baginda kini menjadi "tahanan dalam
rumah".
Banyak pihak antaranya Solidariti Anak Malaysia (SAMM) menggesa pihak
berkuasa supaya menjalankan siasatan dan meneliti kesemua tandatangan
yang diturunkan oleh 1.27 juta rakyat.
Ini kerana menurut dakwaan Azharuddin hanya 300,000 tanda tangan asli
yang diperoleh manakala 900,000 tanda tangan lain adalah palsu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan