Sabtu, 28 Mei 2016

Mahfuz selar individu dedah tanda tangan Deklarasi Rakyat 'palsu'

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Ahli Parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar yang merupakan antara penyokong Deklarasi Rakyat, mempertikaikan  tindakan sekumpulan individu  yang mendakwa berlaku pemalsuan dalam  mengumpul  1.2 juta tandatangan untuk menyokong  deklarasi itu. 
 
Wakil rakyat Pokok Sena itu juga berkata, akuan bersumpah (SD) yang dibuat individu bernama Azharuddin Othman ragu-ragu dan boleh dipertikaikan.
 
"Dia (Azharuddin) telah membuat pengakuan melakukan kesalahan sedangkan perkara itu tak betul, dia melakukan kesalahan menjual 'database' itu. 
 
"Keduanya, tuduhan mengatakan bahawa deklarasi itu berasaskan 'database' adalah tidak betul.
 
"Sebab saya sendiri, kami turun ke medan, turun ke pasar malam, pekan sehari, pasar tani, pasar raya untuk bertemu rakyat. Rakyat begitu ghairah untuk menandatangani borang deklarasi kerana ingin melihat (Datuk Seri) Najib berundur daripada Perdana Menteri," katanya. 
 
Semalam, sekumpulan individu yang diketuai pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mendakwa kumpulan pendokong Deklarasi Rakyat memalsukan tandatangan rakyat untuk mendapatkan jumlah yang banyak dalam tempoh singkat.
 
Bagi menguatkan hujah tersebut, seorang lelaki dikenali sebagai Azharuddin Othman yang didakwa terlibat dalam pemalsuan itu turut diketengahkan.
 
'Saksi' itu yang bekerja sebagai pengaturcaraan komputer bebas secara sambilan mendedahkan, beliau dihubungi seseorang yang dikenali sebagai Ratu Naga menawarkan khidmat untuk membeli pengkalan data (database) rakyat Malaysia bagi mendapatkan 1.2 juta tandatangan untuk projek Deklarasi Rakyat. 
 
Untuk 'tugas' itu, dakwa Azharuddin, beliau ditawarkan bayaran RM5,000. Namun bayaran yang diterima hanya RM1,000 dan sehingga kini beliau tidak mendapat bayaran seperti yang dijanjikan selepas menyelesaikan tugasan yang dikehendaki.          
 
Bagaimanapun Ratu Naga menafikan perkara tersebut dan dilaporkan akan membuat sidang media hari ini bagi menjawab tuduhan berkenaan.
 
 

Tiada ulasan: