Ahad, 16 Januari 2022

Bayi kembar 2 kepala 1 badan meninggal dunia selepas 3 jam

BH ONLINE
Pasukan doktor RSMH Palembang, berdoa untuk bayi kembar dengan dua kepala dengan satu badan. - Foto ANTARA/Jabatan Perhubungan Awam RSMH Palembang)
Pasukan doktor RSMH Palembang, berdoa untuk bayi kembar dengan dua kepala dengan satu badan. - Foto ANTARA/Jabatan Perhubungan Awam RSMH Palembang)

SUMATERA SELATAN: Bayi kembar yang dilahirkan dengan dua kepala pada satu badan di Hospital Umum Pusat Mohammad Hoesin (RSMH) Palembang, Sumatera Selatan meninggal dunia.

Ketua Jabatan Perhubungan Awam RSMH Palembang, Ahmad Suhaimi semalam berkata, bayi kepada pasangan ibu bapa muda yang berusia pertengahan 20-an, disahkan meninggal dunia oleh doktor pada pagi Jumaat jam 11.20 pagi WIB (waktu Indonesia Barat) atau 12.20 tengah hari waktu Malaysia.

"Doktor yang merawat menyatakan, bayi terbabit meninggal dunia semalam (kelmarin) jam 11.20 WIB atau tiga jam selepas kelahirannya pada jam 8.20 WIB," katanya.

Menurutnya lagi, buat sementara waktu, ibu bayi terbabit sedang dirawat dengan rapi di bahagian rawatan kebidanan dan keadaannya semakin pulih.

"Kondisi ibu bayi terbabit ketika ini semakin pulih di bahagian rawatan kebidanan RSMB," tambahnya.

Sementara itu, Dr Indrayadi dalam kenyataan rasmi yang diterbitkan RSMH menyatakan, punca kematian bayi ​​​​yang lahir secara pembedahan dengan berat badan 3,600 gram, panjang badan 44 sentimeter (sm), lilitan kepala kedua-dua bayi 33 sm terbabit dijangkakan kerana keadaan paru-paru yang tidak normal (1 kepala hanya 1 paru-paru) dan terdapat masalah jantung.

Menurut beliau, ketika dilahirkan pada Jumaat jam 8.20 WIB, bayi itu tidak langsung menangis sehingga pasukan doktor memberikan bantuan pernafasan (oksigen) untuk melancarkan pernafasannya dan kemudian dibawa ke bahagian rawatan intensif bayi baru lahir.

"Di ruang rawatan, bayi kembali tidak bernafas kemudian dilakukan pemasangan alat bantuan pernafasan ke kedua-dua kepala bayi dan dihubungkan ke mesin bantuan pernafasan," katanya.

Ketika diberi bantuan pernafasan di kepala kanan, kemudian, didapati hanya dinding dada kanan yang bergerak dan bunyi nafas hanya terdengar di sebelah kanan.

Kemudian, ketika diberi bantuan pernafasan untuk kepala kiri, hanya dinding dada kiri yang bergerak dan bunyi nafas hanya terdengar di dada kiri sehingga dicurigai satu kepala terhubung ke satu paru-paru.

Sehingga dilakukan imbasan X-ray, kelihatan dua tekak, dua paru-paru, satu jantung, dua tulang belakang, dua perut, satu tulang pinggul, dua lengan dan dua kaki, namun bayi belum sempat dilakukan pemeriksaan ekokardiografi.

"Kondisi bayi semakin teruk walaupun dibantu alat pernafasan dimaksimumkan dan diberikan ubat-ubatan sokongan pam jantung, tetapi tetap tidak membantu dan meninggal dunia jam 11.20 WIB," katanya lagi. - AGENSI

Tiada ulasan: