Ahad, 16 Januari 2022

PICK berjaya landaikan keluk pandemik Covid-19 di Malaysia

 

Kadar jangkitan Covid-19 dan kemasukan ke hospital berkurangan dengan amat ketara susulan kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), sekali gus membolehkan rakyat Malaysia menjalani kehidupan dalam norma baharu.

Pada masa sama, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata hasil daripada usaha jitu semua pihak, selain pelaksanaan PICK sejak 24 Februari 2021 lalu, garis lengkung atau keluk pandemik Covid-19 di negara ini juga telah berjaya dilandaikan.

“Sepanjang pandemik Covid-19, salah salah satu usaha yang kritikal bagi Kementerian Kesihatan Malaysia adalah perlaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Walaupun program ini telah mendapat sambutan yang positif dan menggalakkan, namun KKM sentiasa memperkukuhkan strategi-strategi untuk memastikan agar rakyat Malaysia mendapat akses kepada vaksin Covid-19 yang selamat dan berkesan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurutnya, salah satu inisiatif untuk memperkukuhkan program ini adalah melalui Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) dengan menjalankan penyelidikan dalam Keberkesanan Real-World bagi Vaksin Covid-19 di bawah PICK Malaysia (RECoVaM, NMRR 21-1660-60697).

Kajian RECoVaM, katanya, telah mendapati bahawa kadar kes jangkitan Covid-19 bagi setiap 1,000 populasi dalam kalangan kumpulan yang tidak divaksin adalah jauh lebih tinggi iaitu 36.2 berbanding penerima vaksin Oxford-AstraZeneca (7.1), Comirnaty (6.6) dan CoronaVac (11.6).

“Sepanjang tempoh pemerhatian dari 1 April 2021 sehingga 9 Januari 2022, Malaysia telah melaporkan 2,440,873 kes jangkitan Covid-19. Ini termasuk 628,627 kes yang telah dilaporkan berlaku di kalangan individu di bawah umur 20 tahun, dan daripada jumlah tersebut 331,991 kes adalah di dalam kalangan lelaki.

“Sehingga Januari 2022, seramai 80% daripada penduduk di Malaysia telah melengkapkan vaksinasi COVID-19. Namun, kajian-kajian di seluruh dunia termasuk di Malaysia juga telah menunjukkan penurunan tahap imuniti penerima-penerima vaksin setelah beberapa bulan menerima dos yang lengkap.

“Oleh yang demikian, Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) mengesyorkan agar program pemberian dos penggalak kepada semua penduduk dilaksanakan secara berperingkat,” kata Dr Noor Hisham.

Mengenai kesan vaksin, beliau menjelaskan kebimbangan mengenai kes miokarditis dan perikarditis, terutama melibatkan vaksin mRNA Covid-19 bagi populasi remaja, telah mendapat perhatian umum.

“Namun begitu, dengan lebih 33 juta dos vaksin berasaskan mRNA dikawal selia di negara ini, pemantauan pasca-pendaftaran mendapati imbangan manfaat kesan risiko pengambilan vaksin Covid-19 kekal positif.

“KKM ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa kerajaan komited untuk terus memantau sebarang tanda amaran keselamatan kepada program vaksinasi yang sedang berlangsung,” katanya.

Untuk rekod, penyakit miokarditis adalah penyakit keradangan otot jantung dan kebiasaannya disebabkan oleh virus atau penyakit autoimun.

Pada Jun 2021, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Amerika Syarikat telah melaporkan risiko miokarditis di kalangan kanak-kanak di bawah umur 16 tahun adalah 37 kali lebih tinggi bagi mereka yang dijangkiti Covid-19 berbanding mereka yang belum dijangkiti virus tersebut.

Kenyataan penuh KKM di sini.

Tiada ulasan: