Rabu, 8 September 2021

Usul kosongkan kerusi Speaker ditolak – Puad

 MALAYSIA TODAY

USUL dicadangkan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang meminta supaya Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengosongkan jawatan, dikatakan ditolak setakat ini.

(Malaysia Post) – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata beliau difahamkan usul yang dicadangkan mengikut Parkara 26(1) dan 27(3) itu, ditolak oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Abdul Rashid Hasnor.

Menurutnya, keadaan itu bermakna usaha untuk melantik Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga bekas Timbalan Speaker sebagai Speaker yang baharu telah gagal.

“Azalina baru-baru ini mendapat sokongan ramai kerana mencadangkan reformasi Parlimen.

“Antaranya Akta Anti Lompat Parti. Beliau mencadangkan supaya dilaksanakan ‘Recall election’ di kawasan di mana wakil rakyatnya melompat parti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Mohd Puad berkata, menukar Speaker bukanlah sesuatu perkara yang baharu, kerana ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri sebelum ini telah mengemukan usul supaya Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan kerusi Speaker Dewan.

“Menteri Undang Undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan kata, usul yang dibawa Muhyiddin itu pertama kali berlaku dalam sejarah Parlimen tetapi tidak bertentangan dengan perlembagaan.

“Menurutnya, “Perkara yang pertama kali, bukanlah perkara yang ‘illegal’. Ia boleh dilaksanakan berdasarkan perlembagaan dan undang-undang”.

“Speaker ketika itu Ariff Yusof membenarkan usul tersebut. Dia kalah dengan undian 111-109. Proses demokrasi berjalan. Tetapi kenapa sekarang tidak boleh?” soalnya.

Mohd Puad mendakwa, beberapa tindak tanduk Azhar Harun sebagai Speaker amat mengecewakan terutamanya dalam isu penggantungan Parlimen dan sidang Khas Parlimen baru-baru ini. – Malaysiapost

Tiada ulasan: