Rabu, 8 September 2021

Anwar kini liabiliti, Pemuda DAP Wilayah tolak guna logo PKR

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang gagal menjadi Perdana Menteri dianggap liabiliti kepada pembangkang dan Pemuda DAP Wilayah Persekutuan menolak cadangan logo PKR digunakan dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti.

Sebaliknya, Pemuda DAP tersebut mahu logo Pakatan Harapan (PH) digunakan dalam PRU dan menolak cadangan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Wilayah Persekutuan semalam yang menggesa supaya logo dan bendera parti mereka digunakan.

Ketua Pemuda DAP Wilayah Persekutuan Lee Bing Hong dalam satu kenyataan menegaskan bahawa mereka perlu menghormati logo setiap parti dalam PH.

“Kesepakatan perlu dicapai dan adalah lebih molek dan sesuai sekiranya logo PH diutamakan,” katanya

Untuk rekod, logo PKR digunakan PRU-14 lalu semasa dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu.

Ketika itu, Pendaftar Pertubuhan (ROS) menolak pendaftaran Bersatu, parti komponen PH dan juga menolak pendaftaran PH sebagai gabungan rasmi yang sah.

“DAP Wilayah menolak penggunaan logo PKR di dalam PRU yang akan datang dan mengutamakan logo PH bagi tujuan kebersamaan dan kesatuan antara parti,” katanya lagi.

Terdahulu, beberapa pemimpin PKR Wilayah Persekutuan berkata bahawa penggunaan logo PKR lebih sesuai kerana ia adalah satu “jenama yang telah dikenali lebih 20 tahun”.

Antara pemimpin PKR yang membuat cadangan itu ialah tiga Ahli Parlimen PKR – P Prabakaran (Batu), Tan Yee Kew (Wangsa Maju) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa).

Tiada ulasan: