Khamis, 16 September 2021

Ulama Madinah dedah tabiat buruk jemaah haji Indonesia

Oleh WARTAWAN LUAR NEGARA
PROF. SYEIKH SULAIMAN AR-RUHAILI

JAKARTA: Ulama Madinah, Prof. Syeikh Sulaiman Ar-Ruhaili mencuri perhatian dunia apabila mendedahkan tabiat buruk jemaah haji Indonesia ketika berada di tanah suci.  

Beliau yang lebih dikenali sebagai Syeikh Sulaiman memberitahu umat Islam dari Indonesia lebih leka berswafoto daripada berdoa dan beribadah.

Kebiasaannya, selepas mengambil banyak gambar, foto-foto tersebut mula ditayangkan kepada orang lain yang menunjukkan mereka seperti bersungguh-sungguh sedang berdoa. 

“Selepas pulang ke Indonesia, mereka tayangkan gambar dan pamerkan kepada orang lain, seolah-olah sedang berdoa di Masjid Nabawi.

“Bahkan, mereka berbohong ketika berdoa, minta tolong pada orang lain ‘Hei, ambilkan gambarku’ sambil berlakon sedang berdoa. Bohong berdoa, sedangkan tidak berdoa langsung,” jelasnya.

Menurut Syeikh Sulaiman, jemaah haji sepatutnya menggunakan peluang itu sebaik-baiknya mencari kebaikan, bukan memperagakan ibadah di sana sini.

Beliau malah memberitahu pernah bertemu sendiri dengan jemaah berasal dari Indonesia ketika berada di Masjid Nabawi yang langsung tidak mendengar tazkirah yang disampaikan.

“Tidak diragukan lagi, manusia lebih cenderung berswafoto dan riak semakin nampak jelas.

“Bahkan, ketika imam sedang menyampaikan tazkirah, mereka lebih gemar berswafoto,” jelasnya. – AGENSI

Tiada ulasan: