Rabu, 8 September 2021

Tujuh orang dibenarkan hadir akad nikah mulai hari ini

Oleh MOHD HUSNI MOHD NOOR

PUTRAJAYA : Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menetapkan tujuh orang sahaja bagi kehadiran ke majlis akad nikah di Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa hari ini.

Jawi menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, ketetapan itu bagi majlis akad nikah yang dilakukan di Jawi Cawangan Labuan dan masjid terpilih di wilayah ini.

Menurutnya, tujuh orang dibenarkan termasuk pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, ibu pengantin perempuan, bapa pengantin lelaki, ibu pengantin lelaki dan seorang jurugambar.

“Jurunikah dan dua orang saksi adalah dari pihak Jawi dan masjid yang berkenaan,” katanya.

Katanya, Jawi turut menetapkan enam masjid dan sebuah surau di Labuan sebagai lokasi majlis akad nikah.

Ia termasuk Jawi Cawangan Labuan, Masjid Jamek An-Nur;Masjid Sultan Muhammad V; Masjid Jamek Layang- Layangan; Masjid Jamek Adam,Lajau; Masjid Nurul Iman, Kg.Sg. Bedaun; Masjid Ar-Rahman, Kg. Sg. Lada; danSurau Nurhidayah, Perumahan Kos Rendah Rancha-Rancha 2.

Jawi juga menetapkan supaya pelaksanaan majlis akad nikah dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 dibenarkan kepada pasangan yang telah mendapat kebenaran berkahwin daripada Jawi.

Selain itu, katanya, pihak terlibat dalam majlis akad nikah mestilah tidak mempunyai gejala, bukan kontak rapat kes positif Covid-19 atau yang di bawah Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) selain bukan dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan lengkap dua dos vaksin.-UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: