PUTRAJAYA : Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan Industri Latihan Pemanduan (ILP) Kenderaan Motor di seluruh negara dibenarkan beroperasi dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara janji temu mulai Khamis ini.
Menterinya Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, proses pengujian bagi mendapatkan lesen-lesen memandu berkaitan bagaimanapun hanya akan bermula pada 17 September ini.
Beliau berkata, tempoh masa ini diperuntukkan kepada pihak IM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk bersedia sepenuhnya bagi mengelakkan isu-isu berbangkit yang boleh memberi kesan negatif kepada calon.
“Kebenaran beroperasi ini tertakluk dengan aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, MKN menetapkan pekerja, tenaga pengajar dan calon mestilah lengkap menerima vaksin dengan mengemukakan Sijil Digital Vaksinasi Covid-19 dan kad pengenalan sebagai bukti.
Ka Siong berkata, syarikat IM hanya dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja berdasarkan peratusan pekerja yang telah lengkap menerima vaksin.
Menurutnya, sekiranya kadar peratusan pekerja yang lengkap menerima vaksin adalah 40 peratus, maka kapasiti pekerja yang dibenarkan beroperasi adalah sebanyak 60 peratus.
“Jika 60 peratus lengkap menerima vaksin, 80 peratus pekerja dibenar beroperasi. Syarikat dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 100 peratus sekiranya 80 peratus pekerja lengkap menerima vaksin.
“Kehadiran mana-mana kakitangan atau calon yang bergejala, sedang dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Person Under Surveillance (PUS) dan sedang dalam Perintah Kuarantin adalah tidak dibenarkan,” katanya.
Katanya, IM juga perlu mematuhi protokol kesihatan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.
Jelasnya lagi, sebarang ketidakpatuhan terhadap SOP ditetapkan boleh diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Sementara itu, Ka Siong berkata, MOT turut memutuskan untuk memberi moratorium selam tiga bulan bermula 30 November ini bagi meringankan beban pengendali IM yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Moratorium itu bagi meringankan beban pembaharuan permit IM bagi mana-mana yang tempoh sah laku permitnya telah tamat di antara bulan Januari hingga September 2021.
“Kami berharap pengoperasian semula ILP ini dapat memberi kelegaan kepada pengusaha-pengusaha ILP atau IM, tenaga pengajar dan orang ramai yang memerlukan perkhidmatan berkaitan,” katanya.- UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan