Khamis, 23 September 2021

Tedung selar tiga meter ‘curi’ telur ayam

 Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

ANGGOTA APM menangkap ular tedung selar sepanjang tiga meter di Kampung Parit Melana, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

ALOR GAJAH: Hasrat seorang remaja ingin menghalau haiwan yang sering mencuri telur ayam milik keluarganya terbantut selepas bertembung dengan seekor ular tedung selar di rumahnya di Kampung Parit Melana, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 petang itu, ular sepanjang tiga meter dan seberat enam kilogram itu bagaimanapun dapat ditangkap dengan bantuan pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Menurut bapanya, Mohd. Hazhar Mohd. Hasnan, 44, ketika kejadian, dia sedang bekerja tidak jauh dari rumahnya dan bergegas pulang apabila remaja berusia 15 tahun itu menelefon memaklumkan kehadiran reptilia itu.

“Saya sangkakan monyet yang mencuri telur ayam di stor lama rumah kami. Saya memang berpesan kepada anak untuk menghalaunya.

“Tidak sangka pula, rupanya ia kerja ular tedung selar. Anak saya terkejut apabila ternampak ular tersebut dalam keadaan kepalanya tegak berdekatan reban ayam kami,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sementara itu, Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Pertahanan Awam Daerah Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 3.59 petang.

“Sepasukan empat anggota bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi kes menangkap ular (KMU).

“Setibanya di lokasi, ular tersebut telah menyusup dan menyorok di dalam tempayan sebelum ditangkap kira-kira 10 minit kemudian,” katanya.

Tambahnya, ular itu dipercayai datang dari kawasan hutan di belakang kediaman berkenaan untuk mencari makanan. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: