Khamis, 23 September 2021

Polis akan panggil Hasanah, tiga pegawai kanan SPRM


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil tiga pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sebelum ini direman selama enam hari oleh SPRM bagi melengkapkan siasatan berhubung kehilangan wang berjumlah AS$6 juta (RM25 juta).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata pihaknya juga turut akan memanggil pemilik wang berkenaan, bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid.

“Kesemua mereka akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan dan mereka dipanggil berdasarkan siasatan oleh pegawai penyiasat,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Semalam Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata PDRM telah membuka satu kertas siasatan berhubung satu laporan polis yang diterima berkaitan isu berkenaan.

Hamzah berkata kertas siasatan dibuka di bawah klasifikasi Kertas Enkuiri Polis (KEP).

Pada Isnin, SPRM mengesahkan tiga pegawai kanannya direman selama enam hari bagi membantu siasatan terbabit dakwaan salah guna kuasa serta penyelewengan.

Sementara itu Abd Jalil berkata proses permohonan ekstradisi Muhammad Sajjad Kamarul Zaman atau dikenali sebagai Nur Sajat masih sedang berjalan.

Beliau berkata proses ekstradisi usahawan kosmetik itu melibatkan Jabatan Peguam Negara selain pihak berkuasa Thailand masih dipergiat.

“Ya ia masih berjalan dan permohonan itu merupakan sebahagian daripada prosesnya,” katanya.

Beliau mengulas dakwaan pihak berkuasa Thailand kononnya tidak menerima sebarang permohonan ekstradisi Muhammad Sajjad, 36, yang kini ditahan pihak Imigresen Thailand kerana memiliki passport tidak sah.

Muhammad Sajjad dikehendaki di negara ini atas beberapa kesalahan jenayah antaranya menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan dan halang penjawat awam menjalankan kewajipan selain kes penipuan pertukaran nama dan jantina.

Beliau turut dikehendaki selepas waran tangkapnya dikeluarkan kerana gagal hadir di sebutan semula pertuduhan kerana berpakaian menyerupai wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor. – BERNAMA

Tiada ulasan: