Rabu, 15 September 2021

Tabiat berus gigi selepas makan berbahaya

 Oleh KOSMO!

Tabiat memberus gigi sejurus selepas makan akan merosakkan enamel yang melindungi gigi. – Getty Images

LONDON – Seorang pakar pergigian memberi amaran bahawa tabiat memberus gigi sejurus selepas menikmati sarapan adalah berbahaya kerana boleh merosakkan gigi serta menghilangkan warna putih berkilau, lapor akhbar New York Post.

Menurut pengasas Dr. Richard Clinics di London, Dr Richard Marques, bukan sekadar sarapan, bahkan tabiat memberus gigi sejurus selepas makan bukanlah suatu tindakan yang bagus.

“Ini kerana enamel yang berada di sekeliling gigi akan lemah seketika selepas anda makan disebabkan kehadiran asid dalam makanan.

“Jadi, sekiranya anda memberus gigi sejurus selepas makan, enamel tersebut akan dirosakkan,” katanya.

Makanan dan minuman dengan kandungan asid yang tinggi akan menghapuskan lapisan enamel yang melindungi gigi.

Apabila enamel tersebut terhakis,  ia akan menyebabkan masalah gigi sensitif.

“Enamel adalah penting kerana ia adalah satu daripada pelindung yang melindungi gigi. Sekiranya terhakis, ia tidak boleh dikembalikan. Jadi, amat penting untuk anda menjaganya sebaik mungkin,” tambah Marques.

Menjawab soalan mengenai waktu terbaik untuk memberus gigi, Marques berkata, tidak kira sama ada sebelum atau selepas makan, perkara terpenting adalah tempoh masa yang diperuntukkan di antara aktiviti tersebut.

“Anda perlu menunggu sekurang-kurangnya 30 minit selepas makan sekiranya mahu memberus gigi atau sekurang-kurangnya 10 minit sebelum makan.

“Ini adalah bagi memastikan bahawa bahan-bahan dalam ubat gigi berpeluang untuk melakukan ‘tugasnya’  dan melindungi gigi supaya enamel kekal terpelihara,” jelasnya.

Adalah mencukupi untuk sekadar berkumur dengan air bagi menghilangkan sisa makanan pada gigi, tambahnya. – AGENSI 

Tiada ulasan: