Rabu, 15 September 2021

Hujan lebat, ribut petir di enam negeri malam ini

 Oleh NUR HUDA MUSA

Gambar hiasan

PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di enam buah negeri sehingga pukul 10 malam ini.

MetMalaysia dalam kenyataan berkata, di Kedah dijangka ribut petir dan hujan lebat bakal melanda Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap dan Pendang manakala di Terengganu, keadaan sama turut akan berlaku di Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun sehingga pukul 8 malam nanti.

Sementara itu, bagi negeri Pahang, terdapat beberapa kawasan yang akan dilanda ribut petir bersama hujan lebat sehingga pukul 10 malam ini iaitu di Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut dan Maran.

Keadaan itu juga dijangka akan berlaku di Sri Aman (Lubok Antu), Kapit (Kapit dan Bukit Mabong), Bintulu (Bintulu dan Sabah) dan Limbang, Sarawak.

Turut akan mengalami hujan lebat ialah seluruh Wilayah Persekutuan Labuan dan beberapa kawasan di Sabah iaitu Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, dan Tambunan), Tawau (Tawau) dan Sandakan (Tongod dan Kinabatangan). – K! ONLINE

Tiada ulasan: