Ahad, 12 September 2021

Sesi persekolahan 2021 dilanjutkan hingga Mac 2022

GAMBAR: Abd Razak Aid

SESI persekolahan untuk tahun ini akan dilanjutkan sehingga bulan Mac 2022, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin.

Menurut beliau, murid-murid akan kekal berada dalam kelas masing-masing mengikut tahun persekolahan 2021 pada bulan Januari dan Februari 2022.

Beliau berkata, kesemua murid-murid hanya akan naik ke kelas berikutnya pada bulan Mac 2022.

Kata Radzi, tempoh dua bulan itu akan digunakan bagi melihat tahap penguasaan murid-murid dan bentuk bantuan, dukungan dan sokongan yang boleh diberikan kepada mereka.

“Bagi murid yang tahap penguasaan masih lemah, fokus kita pada waktu itu adalah untuk melaksanakan program intervensi bagi membolehkan mereka menguasai tahap minimum sebelum naik ke kelas selanjutnya.

“Murid cemerlang pula boleh menggunakan tempoh itu untuk mengukuhkan lagi kefahaman mereka bagi membantu mereka menguasi topik-topik sepenuhnya sebelum naik ke kelas berikutnya,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, keputusan berkenaan adalah anjakan baharu dalam konteks pembelajaran dan pengajaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menangani murid yang mempunyai masalah pembelajaran lebih-lebih lagi selepas dua tahun yang mencabar kebelakangan ini.

Katanya, langkah itu sekali gus dapat membantu murid-murid membuat persiapan awal sebelum ke kelas berikutnya.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, murid yang sepatutnya mendaftar Tahun 1 2022 akan masuk sedikit lambat iaitu pada bulan Mac tahun hadapan.

“Anak-anak kita akan kekal berada dalam kelas masing-masing pada bulan Januari dan Februari 2022 serta akan naik ke kelas selanjutnya pada Mac 2022.

“Bagi tahun 2022, kita akan laksanakan sesi kalendar akademik persekolahan 2022/2023, sama ada kemasukan bagi tahun 2023 itu akan dikekalkan pada bulan Mac, kami sedang teliti perkara tersebut.

“Sesi libat urus dengan pelbagai pihak sedang berjalan, Saya akan maklumkan pada sesi akan datang,” jelas beliau.

Tiada ulasan: