Ahad, 12 September 2021

Pelancong ke Langkawi guna pesawat tidak perlu surat polis

PELANCONG yang ingin ke Langkawi menggunakan pesawat udara sebagai sebahagian program perintis gelembung pelancongan tidak perlu mendapatkan kebenaran dan surat polis.

Sebaliknya, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, hanya pelancong yang menggunakan pengangkutan darat dari luar negeri sahaja diperlukan mendapat surat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Bagi program perintis pelancongan gelembung Langkawi: Hanya pelancong yang menggunakan pengangkutan darat dari luar negeri sahaja diperlukan mendapat surat daripada PDRM bagi tujuan rentas negeri dan sekatan jalan raya (SJR).

“Pelancong yang menggunakan pesawat udara tidak perlu surat polis,” katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.

Pelancong domestik seluruh negara yang memenuhi kriteria prosedur operasi standard (SOP) termasuk dari negeri berada dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) boleh mula mengunjungi Langkawi mulai 16 September depan.

Walau bagaimanapun, kebenaran itu tidak terpakai kepada mereka yang sedang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Itu antara SOP bagi pembukaan semula destinasi pelancongan pertama negara, Langkawi mulai Khamis depan seperti diumumkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Menurut beliau, pelancong yang ingin pergi ke Langkawi juga mempunyai pilihan untuk menggunakan jalan udara dan darat.

Namun begitu, kata Nancy, pergerakan melalui jalan darat memerlukan pelancong menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan, sekurang-kurangnya menggunakan perkhidmatan pengangkutan dari destinasi permulaan ke jeti feri untuk ke Langkawi.

Pada masa sama, tiada had umur ditetapkan untuk kemasukan ke Pulau Langkawi dan individu berumur bawah 18 tahun perlu bergerak bersama penjaga yang telah lengkap divaksinasi.

Tiada ulasan: