Khamis, 23 September 2021

Salun rambut turut tawar khidmat seks kepada pelanggan tetap

 Oleh KHUZAIRI ISMAIL

NIBONG TEBAL: Polis menahan tiga wanita warga asing yang sedang leka melayan pelanggan ketika menyerbu sebuah salun rambut yang diubah suai untuk menawarkan perkhidmatan seks di Nibong Tebal di sini semalam.

Wanita berusia di antara 22 hingga 25 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dalam operasi kira-kira pukul 4.30 petang.

Ketika operasi itu, tiga pelanggan lelaki berusia 43 hingga 48 tahun turut ditahan premis terbabit yang menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan menerusi pintu belakang bagi mengelakkan dihidu pihak berkuasa.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais, pihaknya mendapati premis itu telah diubah suai di bahagian dalam yang dipercayai untuk menawarkan khidmat seks kepada pelanggan.

“Perkhidmatan itu dipercayai ditawarkan kepada pelanggan tetap yang akan menghubungi penjaga premis melalui aplikasi WhatsApp.

“Mereka akan membuat tempahan bagi mendapatkan perkhidmatan sebelum datang ke premis itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rahimi berkata, dalam operasi itu pihaknya turut menahan seorang perempuan warga tempatan berusia 48 tahun yang merupakan pemilik salun rambut tersebut.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 372A, Seksyen 372B Seksyen 269 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: