Selasa, 21 September 2021

Sajat dilapor cari suaka di Australia

 Oleh KOSMO!

Sajat.

BANGKOK – Pemburuan lapan bulan terhadap Usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Sajat  kini berakhir, lapor portal berita Coconuts KL hari ini.

Transgender berusia 36 tahun itu ditahan pihak berkuasa imigresen Thailand di kondominiumnya pada 8 September lalu, beberapa bulan selepas pihak berkuasa Malaysia menuduhnya berpakaian seperti wanita di sebuah sekolah agama tiga tahun lalu, lantas melancarkan operasi memburunya.

Sajat dilaporkan didakwa atas kesalahan berkaitan undang-undang imigresen di Thailand dan kemudian dibebaskan dengan ikat jamin AS$2,000 (RM8,385) .

Dia telah mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) setelah pasportnya ‘dibatalkan’ dan meminta suaka di Australia, demikian menurut laporan itu.

Sajat diperintahkan untuk hadir ke pejabat imigresen Thailand setiap dua minggu, tambahnya.

UNHCR dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Australia tidak menjawab pertanyaan laman berita Coconuts pada waktu penerbitan artikel ini hari ini. Akaun media sosial peribadi Sajat juga tidak boleh diakses oleh umum.

Jurucakap Polis Imigresen di Thailand, Mejar Jeneral Achayon Krathong enggan mengulas mengenai kes tersebut apabila dihubungi Coconuts. Achayon sebaliknya berkata, beliau perlu memeriksa dengan pasukannya terlebih dahulu mengenai laporan tersebut.

Sajat dilaporkan memberitahu pihak berkuasa Thailand bahawa dia menerima ugutan bunuh selepas mengumumkan hasratnya untuk keluar daripada agama Islam. Dia juga menyatakan sedang diburu oleh 122 pegawai daripada pihak berkuasa agama Islam Selangor.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 23 Februari lalu mengeluarkan waran tangkap terhadap Nur Sajat kerana gagal hadir pada prosiding kes berpakaian wanita tiga tahun lalu.

Waran tangkap itu dikeluarkan oleh Hakim Syarie, Mohammad Khalid Shaee @ Shaii. – K! ONLINE

Tiada ulasan: