Rabu, 1 September 2021

Prof Siddiq Fadzil meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil, meninggal dunia pada jam 6.32 petang, hari ini.

Berita pemergian Tokoh Maal Hijrah 1440H/2018M itu dimaklumkan oleh pimpinan ABIM, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dalam satu kenyataan, hari ini.

"Dengan rasa sedih dan penuh dukacitanya, disampaikan bahawa Presiden ABIM ketiga juga murabbi kita, Prof Ustaz Dato' Fadzil (USF) telah kembali menemui Penciptanya pada jam 6.32 petang, Selasa 31 Ogos 2021.

"Jenazah Almarhum masih berada di hospital dan urusan seterusnya akan dimaklumkan kelak," jelas kenyataan itu.

Siddiq, 74, pernah menjadi Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan Presiden PKPIM sekitar 1970-an, selain Presiden ABIM pada 1980-an serta Presiden WADAH pada 2005.

Bapa kepada tujuh anak itu pernah menyandang jawatan Pengerusi Akademi Kajian Ketamadunan (AKK), Ahli Panel Akademi Pengurusan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Pengerusi Kajian Maqasid Shariah IDE dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Beberapa pemimpin menerusi laman sosial media masing-masing turut menzahirkan ucapan takziah termasuk Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; dan Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal.

Tiada ulasan: