Isnin, 13 September 2021

PERHILITAN tangkap pindah tujuh gajah liar

JELI: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan menangkap tujuh gajah liar di kawasan kebun di Kampung Lawar, di sini dalam operasi yang dijalankan selama empat hari bermula 7 September lalu.

Pengarah PERHILITAN Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif, berkata tangkapan termasuk lima gajah jantan dianggarkan berusia lingkungan tiga hingga 30 tahun dijalankan susulan aduan berterusan sejak 17 Ogos lalu mengenai gangguan gajah liar.

Katanya, pada 7 dan 8 September, Unit Tangkapan Gajah (UTG) Jabatan PERHILITAN Kelantan dengan kerjasama kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang berjaya menangkap lima ekor gajah.

Beliau berkata operasi diteruskan dan berjaya menangkap dua lagi gajah jantan di lokasi sama pada Jumaat lalu.

"Kumpulan gajah liar ini dipercayai daripada kumpulan gajah liar sama yang ditangkap berhampiran Kampung Bukit Ipoh, Jeli pada Ogos lalu.

"Tujuh gajah liar ini keluar dari Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Basor untuk mencari makanan dan populasi gajah liar yang mendiami kawasan hutan simpan ini juga dianggarkan lebih 30 ekor," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, sebelum operasi tangkapan gajah liar dijalankan, pihaknya sudah mengambil beberapa tindakan seperti memberi khidmat nasihat kepada penduduk setempat, pemasangan lampu LED biru dan juga kaedah tembak halau bagi memastikan gajah liar ini kembali semula ke hutan simpan berhampiran tetapi tidak berhasil.

"Oleh itu, pihak kami menjalankan operasi tangkap pindah bagi mengelakkan kerugian berterusan kepada penduduk setempat selain memastikan keselamatan gajah liar ini dan anggaran jumlah kerugian yang dialami oleh penduduk di kawasan Kampung Lawar pada tahun ini adalah kira-kira RM90,100," katanya.

Katanya, operasi pemindahan kesemua gajah liar berkenaan dilakukan selama dua hari sehingga semalam membabitkan 35 kakitangan dari Jabatan Perhilitan Kelantan, Perak, Terengganu dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah.

"Dua ekor gajah denak dari PKGK iaitu Abot dan Rambai digunakan bagi membantu operasi pemindahan gajah liar ini yang akan dilepaskan semula ke habitat semula jadi di Taman Negara Kelantan-Terengganu-Pahang," katanya.

Ady Ermanty Haniff berkata, operasi tangkap pindah gajah bukan penyelesaian jangka panjang terutamanya di kawasan kebun atau ladang yang berhampiran dengan kawasan hutan simpan.

"Langkah mitigasi yang lebih efektif seperti pembinaan pagar elektrik gajah (SPEG) adalah salah satu kaedah yang paling berkesan untuk menghalang gajah liar memasuki kawasan tanaman," katanya.

Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada PERHILITAN menerusi hotline 1-800-88- 5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.

Tiada ulasan: