Isnin, 13 September 2021

Tanam pokok di kediaman, tangani ancaman perubahan iklim

BH ONLINE
Antara pokok yang terdapat di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Antara pokok yang terdapat di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Masyarakat digalak untuk mengambil inisiatif menanam pokok di kediaman masing-masing kerana ia adalah strategi paling berkesan bagi mengurangkan kesan perubahan iklim, selain dapat mewujudkan persekitaran yang lebih hijau dan cantik.

Ketua Program Perubahan Iklim, Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar dan Perhutanan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr Azian Mohti, berkata perubahan iklim adalah isu penting kerana ia sedang berlaku dengan amat cepat, maka langkah perlindungan alam sekitar seperti penanaman pokok-pokok baharu perlu dipertingkatkan.

Beliau berkata seiring dengan perkembangan teknologi, pelbagai teknik tanaman boleh dipraktikkan tidak kira sama ada seseorang itu tinggal di bandar ataupun di kampung.

"Wujud beberapa teknik tanaman yang dapat mengatasi masalah kekurangan ruang untuk menanam pokok. Mereka yang tidak mempunyai tanah juga boleh bercucuk tanam walaupun dalam kawasan terhad," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azian berkata walaupun menanam pokok tampak remeh, tetapi jika semua orang melakukannya tidak mustahil impak pemanasan global pada masa hadapan dapat dikurangkan.

Beliau berkata tindakan mitigasi perlu dijalankan untuk mengurangkan impak fenomena perubahan iklim dan inisiatif menanam pokok adalah langkah proaktif yang berupaya menangani ancaman perubahan iklim, berikutan ekosistem semula jadi yang terjejas akibat kesan perubahan iklim itu dapat dipulihkan dengan pertambahan bilangan pokok.

Azian berkata penanaman lebih banyak pokok bukan sahaja dapat menambah kawasan hijau, malah usaha ini dilihat boleh mengurangkan jejak karbon (carbon footprint) dan apabila semakin tinggi nilai indeks jejak karbon, semakin tinggi kepekatan gas rumah hijau di atmosfera.

"Jejak karbon adalah jumlah gas rumah hijau yang terhasil daripada setiap kegiatan manusia secara langsung ataupun tidak langsung. Menghitung jejak karbon dapat membantu mengenal pasti langkah-langkah yang dapat mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.

"FRIM memiliki kepakaran menghitung jejak karbon, di samping menawarkan perkhidmatan berkenaan kepada sesuatu organisasi untuk menghitung jejak karbon mereka dan sekali gus menggalakkan pembabitan masyarakat dalam menangani perubahan iklim serta pengurangan pelepasan karbon.

"FRIM juga boleh membantu dalam pemilihan beberapa jenis pokok mengikut kawasan berikutan terdapat spesies pokok yang mempunyai kemampuan yang tinggi dalam menyerap CO2," katanya.

Beliau juga menjelaskan bahawa peningkatan pelepasan gas rumah hijau daripada pelbagai kegiatan manusia seperti pembakaran bahan api fosil untuk haba dan tenaga, penebangan hutan, penanaman tanaman pertanian dan penternakan serta penghasilan beberapa produk perindustrian terus menyumbang kepada berlakunya perubahan iklim.

Menurutnya perubahan iklim membabitkan corak cuaca yang bertukar secara mendadak dan meninggalkan kesan jangka panjang antaranya peningkatan paras air laut dan kekerapan fenomena cuaca ekstrem seperti banjir serta kemarau. – BERNAMA

Tiada ulasan: