Jumaat, 10 September 2021

Pemandu lori didakwa memandu di bawah pengaruh dadah

 Bernama

Malaysiakini

Seorang pemandu lori yang videonya tular kerana merempuh lima kenderaan dan menyebabkan sebuah Perodua Myvi remuk teruk pada Isnin lepas didakwa di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memandu kenderaan di bawah pengaruh dadah.

Bagaimanapun, Ardi Latif, 25, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Amanina Mohd Anuar.

Ardi didakwa telah memandu kenderaan itu di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine dan amphetamine serta dia tidak berdaya mengawal kenderaan tersebut dan menyebabkan kecederaan kepada pemandu kereta Perodua Myvi Nik Adlee Saha Nik Ahmad Fauzi, 45, di Jalan Segambut Utara menghala ke Jalan Ipoh di Kuala Lumpur pada 2.40 petang, 6 Sept.

Pendakwaan mengikut Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM30,000 atau maksimum RM50,000 dan hilang kelayakan memandu untuk tempoh tidak kurang tujuh tahun daripada tarikh disabitkan kesalahan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Ardi diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan lesen memandu tertuduh ditahan sehingga kes selesai.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nursyuhada Abd Rauf.

Pada 6 Sept, tular dalam media sosial rakaman kamera perakam video yang memaparkan sebuah lori tanpa muatan merempuh beberapa kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat merah.

Kemalangan itu menyebabkan sebuah kereta Perodua Myvi berwarna kuning remuk teruk manakala beberapa kenderaan lain turut mengalami kerosakan.- Bernama

Tiada ulasan: