Jumaat, 10 September 2021

Pasangan kekasih edar biskut, kek ganja berdepan tali gantung

MALAYSIAKINI
 
Malaysiakini

Sepasang kekasih yang disyaki melakukan perbuatan memproses dan mengedar biskut berasaskan ganja di Petaling Jaya, kini berdepan hukuman gantung sampai mati.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, ACP Sahar Abd Latif berkata, pihak polis melakukan risikan selama sebulan yang membawa kepada penangkapan pasangan berkenaan.

Katanya, sebuan pertama dilakukan pada 7 September lalu apabila polis menyerbu sebuah kereta di Jalan Pudu Kuala Lumpur dan menahan seorang lelaki berusia 34 tahun.

Dalam serbuan itu sebanyak 25 balang biskut dan 53 kek berasaskan ganja dirampas.

Susulan daripada itu polis menyerbu kediaman lelaki berkenaan di PJ Midtown pada hari yang sama dan turut menahan seorang wanita berusia 28 tahun yang juga kekasih kepada lelaki berkenaan.

Dalam serbuah kedua itu, polis merampas 131 balang biskut ganja, 41 kek berasaskan ganja, lapan ketulan mampat ganja, periuk nasi berisi cecair ganja, ketuhar elektrik, mesin pengaduan dan peralatan lain untuk membuat biskut dan kek.

Secara keseluruhan, pihak polis merampas 156 balang biskut ganja seberat 43.275kg, 94 kek seberat 9.625kg, ketulan mampat ganja seberat 7.82kg dan cecair ganja seberat 31kg.

"Hasil siasatan lanjut, modus operandi sindiket ini adalah dengan mendapatkan bekalan dadah jenis cannabis dan seterusnya memproses sendiri dadah tersebut untuk dijadikan kek dan biskut dan kemudian dipasarkan dengan harga RM100 bagi sebalang biskut dan RM50 bagi sebiji 100g.

"Pelanggan sindiket ini terdiri daripada kenalan rapat lelaki berkenaan di media sosial iaitu Instagram," katanya.

Sahar berkata, hasil saringan terhadap lelaki berkenaan mendapati dia positif ganja manakala ujian ke atas wanita terbabit adalah negatif dadah.

Suspekn lelaki berkenaan ditahan reman selama enam hari manakala pasangannya ditahan selama tujuh hari.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan," katanya.

Tiada ulasan: