KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mempertahankan keputusan melantik Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf menteri walaupun wakil pembangkang mempersoalnya susulan dakwaan kegagalan Ahli Parlimen Pagoh itu menerajui negara selama 17 bulan.
Ismail berkata, pelantikan Muhyiddin dibuat memandangkan bekas perdana menteri itu menjawat jawatan tersebut sejak MPN diwujudkan ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Dari segi Majlis Pemulihan Negara yang dipengerusikan Ahli Parlimen Pagoh, memang Ahli Parlimen Pagoh telah menjadi pengerusi sejak dari mula Majlis Pemulihan Negara diwujudkan, jadi oleh sebab itu kita beri kepercayaan kepada beliau untuk teruskan tugas,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan tambahan Saifuddin Nasution (PH-Kulim Bandar Baharu) berhubung kewajaran melantik Muhyiddin sebagai pengerusi MPN dengan mendakwa bekas perdana menteri itu gagal mengurus negara sebelum ini.
Pada 4 Sept lalu, Jemaah Menteri bersetuju melantik Muhyiddin sebagai pengerusi MPN bertaraf menteri.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara yang juga Setiausaha Jemaah Menteri, Mohd Zuki Ali.
Sementara itu, Muhyiddin memaklumkan beliau menjalankan tugas sebagai pengerusi MPN secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan