Selasa, 21 September 2021

Kuasa saya, jelas Azhar isu batal minta Kor Ming ketuai sidang Parlimen


Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata beliau mengubah fikiran di saat akhir dan membatalkan permintaannya supaya Ahli Parlimen (MP) Teluk Intan, Nga Kor Ming mengetuai sidang petang semalam.

Menurutnya, beliau tidak menerima tekanan daripada mana-mana pihak untuk membatalkan permintaan itu pada saat akhir.

Beliau menjelaskan mengikut Peraturan Mesyuarat 7 (3) adalah kuasanya untuk meminta sesiapa sahaja bagi mempengerusikan mesyuarat buat sementara sehingga beliau kembali.

“Jadi saya beri surat kepada YB Teluk Intan (Kor Ming) dan saya berterima kasih kerana beliau bersedia untuk menerimanya.

“(Tetapi) saya menukar fikiran saat akhir. Untuk soalan pertama, prosiding itu sah sebab saya balik semula mengetuai mesyuarat dan bagi soalan kedua saya tidak diberi tekanan oleh sesiapa pun untuk mengubah fikiran itu,” katanya menjelaskan kedudukan sebenar isu surat yang dikeluarkannya yang meminta Kor Ming menggantikan beliau buat sementara semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjelaskan perkara itu setelah dibangkitkan MP Gobind Singh Deo (PH-Puchong) pada sidang di Dewan Rakyat hari ini.

Semalam Azhar meminta Kor Ming, yang juga bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, untuk mempengerusikan sidang Parlimen tetapi dikatakan dihalang seorang menteri kanan yang tidak dinamakan.

Minggu lalu, Azhar turut menjemput MP Pengerang daripada UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said, – bekas timbalan speaker yang meletak jawatan – untuk mempengerusikan sidang Parlimen.

Sementara itu pertikaman lidah berlaku antara Gobind yang mencabar Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali untuk mendedah sama ada beliau adalah menteri kanan yang dilaporkan menyekat Kor Ming daripada mempengerusikan sesi petang persidangan Dewan Rakyat, semalam atau sebaliknya.

Bagaimanapun, Timbalan Speaker Datuk Rashid Hasnon yang mempengerusikan mesyuarat ketika itu mematikan pembesar suara Gobind dan Azmin.

Tiada ulasan: