Rabu, 22 September 2021

Kes sembuh kekal melebihi jangkitan harian

 

Jumlah pesakit sembuh harian yang direkodkan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi kekal melebihi jangkitan positif hari ini, apabila mencatat 16,650 kes berbanding 15,759 jangkitan positif.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata angka sembuh hari ini menjadikan keseluruhan kumulatif sejak awal tahun lalu kepada hampir 1.9 juta atau 89.2 peratus daripada lebih 2.12 juta kes positif.

Beliau turut memaklumkan dalam tempoh itu juga 23 kluster baharu dikesan menjadikan keseluruhannya 5,328 kluster dengan 4,013 telah ditamatkan dan 1,315 masih aktif.

Mengikut statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini, masing-masing sembilan kluster tempat kerja dan komuniti direkodkan, tiga kluster kumpulan berisiko tinggi dengan dua di Sarawak dan satu di Johor, serta kluster pendidikan, serta institusi pendidikan di Kuala Lumpur dan Selangor.

Enam daripada sembilan kluster komuniti direkodkan di Kelantan, dan masing-masing satu di Pahang, Sabah dan Johor.

Selangor dan Perak pula merekodkan masing-masing tiga kluster tempat kerja, diikuti dua di Kelantan dan satu di Johor.

Dr Noor Hisham berkata 1,117 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 844 pesakit disahkan positif Covid-19, manakala 273 lagi disyaki dan dalam siasatan.

Jumlah yang masih dirawat di ICU itu berkurangan sedikit berbanding seramai 1,167 pesakit yang dilaporkan semalam.

Seramai 635 pesakit lagi memerlukan alat bantuan pernafasan, termasuk 377 pesakit yang disahkan dijangkiti Covid-19, manakala selebihnya masih dalam siasatan.

Sementara itu, beliau berkata daripada 15,759 jangkitan baharu hari ini, 1,469 membabitkan rakyat asing.

“Daripada 15,759 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 288 kes atau 1.8 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 15,471 kes (98.2 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya.

Tiada ulasan: