Jumaat, 10 September 2021

Jangan ganggu lagi hutan simpan di Selangor

HARAKAH DAILY
 

MUAFAKAT Nasional (MN) Negeri Selangor mengalu-alukan langkah Kerajaan PH Negeri Selangor yang akhirnya bersetuju mewartakan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) setelah menyahwartakannya secara tergesa-gesa dan tanpa mengambil kira pandangan rakyat dan NGO serta pelbagai agensi berkaitan termasuk usul di dalam sidang DUN yang disokong oleh semua ADUN dan diluluskan sebagaimana direkodkan dalam Warta Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 12 Ogos 2021.

Ekoran tindakan terbaru ini terbukti integriti Kerajaan PH Selangor dipertikaikan kerana mesyuarat MMKN 17/2021 bertarikh 5 Mei 2021 sebelumnya telah meluluskan nyahwarta ini dalam mesyuarat mereka. Pihak yang menyokong pelan pembangunan di kawasan HSKLU ini sehingga meyakinkan MB dan kerajaan negeri meluluskannya walau dibantah rakyat perlu memikul tanggungjawab dan disiasat.

MN Selangor memberi amaran kepada Menteri Besar dan Kerajaan Negeri PH Selangor agar jangan lagi bertindak membelakangkan pandangan rakyat dan pihak berkepentingan semata-mata kerana ingin meraih keuntungan dan kepentingan politik. Warisan Hutan Paya Gambut negeri ini sangat bermakna dan berharga buat semua lebih-lebih lagi generasi kita yang akan datang, menyentuh apa lagi membangunkan kawasan seumpama ini sesungguhnya mengkhianati warisan dan khazanah negeri.

Kenyataan ini dikeluarkan oleh Pengerusi Bersama Muafakat Nasional Negeri Selangor pada hari ini Khamis 9 September 2021 bersamaan 2 Safar 1443.

DATO’ DR AHMAD YUNUS HAIRI
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

TAN SRI NOH OMAR
Pengerusi 
Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: