Sabtu, 11 September 2021

Tindakan tarik balik kes jejas persepsi terhadap SPRM

MALAYSIA TODAY

Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bimbang dan memandang serius isu penarikan balik kes melibatkan individu tertentu semasa perbicaraan sedang berlangsung.

(Updates Malaysia) – Lembaga berkenaan dalam satu perbincangannya sebulat suara menyatakan pendirian tidak bertolak ansur demi menjaga imej, kredibiliti dan integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusinya Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata LPPR dengan segera telah mendapatkan pandangan Ketua Pesuruhjaya SPRM serta Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM berkaitan penarikan balik kes terhadap bekas Ahli Lembaga Pengarah Felda Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Norrassid.

“LPPR mengambil maklum bahawa penarikan balik kes berkenaan adalah berasas fakta baharu daripada siasatan lanjut setelah tertuduh mengemukakan representasi dan pernyataan pembelaannya di bawah Seksyen 62 Akta SPRM 2009 ketika perbicaraan,” katanya dalam kenyataan.

Pada 1 Sept lepas Noor Ehsanuddin dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah atas 29 pertuduhan rasuah selepas pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan itu.

Peguamnya Datuk Hasnal Rezua Merican dilaporkan berkata pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah berhubung penarikan balik kesemua 29 pertuduhan itu, semasa prosiding perbicaraan kes di hadapan Hakim Suzana Hussin pada 21 Mei lepas.

Mengulas lanjut, Abu Zahar berkata namun begitu pihaknya berpandangan terdapat elemen-elemen kekurangan dalam siasatan serta keputusan pendakwaan pada awal Februari 2019 oleh Peguam Negara serta pengurusan dan pentadbiran SPRM ketika itu dibuat tanpa pertimbangan yang menyeluruh.

Menurutnya oleh kerana sesuatu kes diambil tindakan ketika itu tidak telus serta tidak profesional dan lebih menjurus kepada kepentingan politik telah menyebabkan pengurusan SPRM yang ada sekarang terpaksa menanggung implikasinya.

Beliau dan kesemua ahli jawatankuasa LPPR SPRM tidak mahu SPRM dipolitikkan oleh mana-mana pihak serta tidak mahu segala kesilapan dan kelemahan yang berlaku dahulu terus berulang.

“Prinsip ‘check and balance’ (semak dan imbang) yang diamalkan sekarang hendaklah dilaksanakan dengan bijak, telus dan bertanggungjawab serta penuh integriti,” tegasnya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata pihaknya turut menggesa SPRM supaya mengkaji semula tindakan menarik balik kes-kes yang sedang dalam perbicaraan.

Ketika dihubungi Bernama, Abu Zahar berkata SPRM perlu melaksanakan tindakan sewajarnya jika diarahkan berbuat demikian oleh badan itu selain kes-kes tersebut perlu diurus dengan telus dan profesional demi menjaga integriti dan persepsi terhadap agensi itu.

“Saya tidak mahu persepsi seperti laporan terhadap kes Felda mengatakan dia dah bayar balik dah boleh lepas. Mana boleh macam itu…itu persepsi masyarakat di luar sekarang dan perlu dibetulkan,” katanya.

LPPR merupakan satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM yang diwujudkan mengikut Seksyen 13 Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan ahli-ahlinya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Tiada ulasan: