KUALA LUMPUR : Pelakon, Zarina Zainuddin,51, meluahkan rasa kecewa kerana sehingga sekarang masih ada kalangan warganet yang mempersoalkan caranya menjaga anak-anak istimewanya yang menghidap autisme.
Menurut Zarina, dia berpendirian bahawa setiap orang mempunyai cara masing-masing dalam membentuk, mendidik dan menjaga anak dan urusan itu tidak seharusnya perlu dilakukan dengan cuma menuruti kata orang.
“Anak saya, sayalah jaga. Saya lebih kenal anak sendiri. Makan minumnya saya jaga dari kecil, didik dia, setiap orang itu berbeza cara hidupnya. Kenapa nak suruh saya kena buat macam itu, buat macam ini?
“Cara saya, sayalah jaga. Cara kita tak sama. Saya tak nak hidup sebab nak tunjuk pada orang yang diri ini baik. Semua Allah SWT yang nilai, bukan manusia. Zahir saja manusia nampak, baik buruknya kita sendiri yang tahu,”katanya.
Zarina berkata demikian dalam satu perkongsian di Instagram (IG) hari ini.
Terdahulu, Zarina berkongsi sebuah video ringkas di IG dengan memaparkan anaknya, Azil dan usaha untuk membawanya ke kedai gunting rambut hari ini bagi merapikan diri.
“Azil sudah 25 tahun dan sudah dewasa. Selalu saya cakap padanya, Allah SWT sayang Azil. Dia tiada dosa dan tak boleh berkata. Azil tak boleh berfikiran macam orang lain selain tiada nafsu macam orang lain.
“Selalu orang cakap jangan cium anak itu, dia pun ada nafsu. Tapi Azil tak ada pun macam itu. Kadangkala dia mandi pakai tuala depan tutup, belakang nampak. Belakang tutup, kadang depan nampak. Kalau dia sedang mengamuk, dia buka saja.
“Orang gaji saya pun sudah berhenti. Apa pun alasan dia berhenti, saya terima seadanya,”katanya.
Dalam pada itu, Zarina juga berpendapat dia lebih selesa untuk menjadi diri sendiri selain bimbang untuk bergaul dengan orang yang mula menilai dirinya.
Sebagai seorang manusia, kata Zarina, dia tentunya sentiasa mencuba memperbaiki diri dan kelemahan diri perlahan-lahan.
“Namun saya berterima kasih kepada semua yang memberi teguran. Cuma jangan tegur saya di IG, saya akan padam dan sekat. Nak tegur sila mesej di ruangan peribadi atau DM, saya akan cuba perbaiki.
“Terima kasih untuk doa dan kasih sayang semua,”katanya.
Untuk rekod, Zarina adalah ibu kepada pasangan kembar autisme, Muhammad Razil Azrai (Azil) dan Muhammad Raizal Azrai (Azal).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan