Selasa, 14 September 2021

Isteri anggota ATM tidak bekerja diberi latihan

 Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI

AFFENDI BUANG

PETALING JAYA: Isteri anggota tentera yang tidak bekerja akan diberi kemahiran perniagaan dalam talian serta latihan berkaitan pada masa depan.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, latihan kemahiran tersebut dilaksanakan bagi membantu meningkatkan pendapatan isi rumah anggota tentera terutama ketika bersara nanti.

Selain itu, katanya, dengan peningkatan trend perniagaan dalam talian dan tidak memerlukan perbelanjaan modal  besar, langkah berkenaan mampu dijadikan satu nilai tambah dan persediaan sebelum bersara nanti.

“Anggota tentera bersara awal ketika awal 40-an. Ketika ini komitmen dan perbelanjaan masih tinggi dan anak-anak masih belum berdikari. Jadi apa yang kita melihat isteri anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak bekerja jika diberi satu kemahiran ia akan dapat menambahkan pendapatan mereka. Modalnya pun tidak besar cuma memerlukan kemahiran sama ada untuk membuat makanan atau keperluan rumah.

“Teknik pemasaran juga semuanya dalam talian. Dengan kemahiran seperti ini, ia boleh dipanjangkan bila suami meraka sudah bersara. Ini salah satu cara terbaik agar kebajikan anggota terpelihara,” katanya dalam sesi Wawancara Khas Media Sempena Hari ATM Ke- 88, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Affendi ketika diminta mengulas berkenaan keperluan menambah hospital medan pada masa akan datang, beliau berkata, setakat ini segalanya bergantung kepada keperluan semasa.

“Keperluan hospital medan berpandukan kepada kes-kes tertentu dan apa kita lihat semasa penularan pandemik ini ia bergantung kepada kawasan sama ada ada kadar kemasukan pesakit ke hsopital tinggi atau tidak.

“Contohnya pada masa ini, di Lembah Klang kita ada satu kemudahan hospital medan di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan dan satu di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang serta Hospital Selayang. Apabila berlaku trend penurunan kita boleh minimumkan penggunaannya dan mungkin boleh sediakan untuk kegunaan lain pula,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: