Selasa, 14 September 2021

Lelaki dituduh hina raja, agama

HARAKAH DAILY
 

MELAKA: Seorang lelaki hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini, gara-gara membuat hantaran menghina institusi raja dan agama di laman sosial Facebook.

Bagaimanapun tertuduh, Prajiv Lionel Proctor, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Mengikut pertuduhan, Prajiv didapati secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menganiayai orang lain, yang telah dibaca di laman profil Facebook ‘Bantal Busuk’ dan kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 1 tengah hari di KM4 Bukit Piatu dalam daerah Melaka Tengah pada 29 Dis 2019.

Prjajiv didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) Akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari memohon agar mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM15,000.

Namun peguam Tan Chow Teng yang mewakili Prajiv merayu agar sukarelawan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) itu dikenakan jaminan RM3,000 kerana beliau menghidapi kanser tiroid, kecelaruan obsesif kompulsif (OCD) dan masalah hiperaktif dan kekurangan tumpuan (ADHD) selain masih menjaga kedua-dua orang tuanya, serta tidak mempunyai pendapatan tetap.

Hakim Maziah Joary kemudian membenarkan Prajiv diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 17 Jan 2022. BERNAMA

Tiada ulasan: