KUALA LUMPUR: Sebanyak empat kes positif COVID-19 dikesan hasil saringan 3,454 pelancong di pintu masuk udara dan laut ke Langkawi, hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata satu kes masing-masing di pintu masuk antarabangsa (PMA) Lapangan Terbang Pulau Pinang dan PMA Subang manakala dua kes di PMA Terminal Feri Kuala Perlis (dua).
"Empat kes positif COVID-19 dikesan di empat PMA untuk ke Pulau Langkawi, hari ini," katanya menerusi Facebook, malam tadi.
Semalam, lima kes positif COVID-19 dikesan melalui saringan ujian RTK-Ag terhadap 2,528 yang mahu ke Pulau Langkawi, di empat pintu masuk lapangan terbang dan terminal feri Kuala Perlis.
Sehingga jam 12 tengah hari semalam juga seramai 2,546 disaring di pintu masuk udara dan laut ke Pulau Langkawi.
Ia membabitkan sejumlah 1,250 individu yang disaring di empat pintu masuk lapangan terbang dan 1,296 individu lagi melalui jeti feri di Kuala Perlis.
Sebelum ini, Dr Noor Hisham dilaporkan berkata, kejayaan Projek Rintis Langkawi sebagai gelembung pelancongan domestik pertama sangat penting dalam menentukan hala tuju pembukaan destinasi gelembung pelancongan domestik yang seterusnya.
Ia perlu dilaksanakan dengan berhati-hati bagi memastikannya berjalan lancar dan tidak menyebabkan peningkatan kes serta kluster baharu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan