Sabtu, 18 September 2021

Amalan politik inklusif demi kebaikan rakyat - Annuar

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan memperkenalkan amalan politik secara inklusif bersama pembangkang bagi mencari titik persefahaman, akan membawa lebih kebaikan kepada rakyat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata landskap politik ketika ini menuntut semua pihak menerima realiti kewujudan bersama bertepatan konsep Keluarga Malaysia.

"Kalau dulu yang memerintah dan pembangkang ada jurang yang sangat besar...kita tak boleh duduk semeja, tak boleh berkongsi agenda bersama, masing-masing nak tunjuk dia lebih baik.

"Sekarang, kita cuba tukar dalam suasana falsafah Keluarga Malaysia, kita harus melaksanakan (politik bersifat inklusif) bukan sekadar retorik," katanya menerusi penampilan pertama bagi program "Bersama Annuar" di Twitter Spaces, malam tadi.

Annuar berkata, dalam meraikan perbezaan pendapat semua pihak, kerajaan dan pembangkang perlu bekerjasama memastikan situasi politik yang tidak membawa kesejahteraan dan kebaikan kepada negara dapat dielakkan.

Berbeza dengan situasi politik sebelum ini, Annuar berkata, senario politik negara perlu bergerak ke arah politik matang dan mengutamakan keberhasilan, bukan semata-mata politik berpuak, fanatik, bersifat perkauman.

Oleh itu, beliau meminta pemimpin politik membuka mata dan menerima hakikat untuk mengamalkan politik yang membawa ciri kekeluargaan, meskipun berbeza pendapat terhadap sesuatu perkara.

Ditanya mengenai pelaksanaan Undi 18, beliau menzahirkan keyakinan perkara itu boleh dilaksanakan pada pilihan raya akan datang sekali gus memberi peluang kepada belia untuk membabitkan diri dalam urusan kenegaraan sebagai pemilih dan wakil rakyat.

"Kalau dulu kita anggap 21 tahun sesuai untuk dilibatkan dalam hal-hal kenegaraan dan kalau bawah 21 tahun masih dianggap remaja.

"Sekarang kita dapati tahap kematangan rakyat sudah jauh berbeza dan rakyat cukup berpengetahuan, mempunyai pendedahan dalam bernegara…malah umur 18 sesuai dan boleh libatkan diri dalam kepimpinan," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: