Selasa, 21 September 2021

Dua anggota polis antara ditahan berparti liar

KUALA LUMPUR: Dua anggota polis antara 14 individu yang ditahan ketika sedang asyik berhibur dalam 'parti ketamin' di sebuah kondominium mewah di Changkat Raja Chulan di sini, malam kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sahar Abd Latif, berkata serbuan dijalankan atas maklumat dan risikan yang dijalankan berhubung penganjuran parti liar itu.

"Dalam serbuan kira-kira jam 9.30 malam itu, seramai 14 pengunjung iaitu tujuh lelaki dan tujuh wanita warga tempatan berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

"Hasil pemeriksaan di dalam premis terbabit, polis turut menemukan dadah jenis ketamin anggaran seberat 5.56 gram bernilai RM834," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sahar berkata, siasatan awal pihak polis mendapati penganjur parti liar itu adalah seorang lelaki berumur 39 tahun dan bertujuan bertemu kenalan dan seterusnya berhibur.

"Pengunjung yang hadir dijemput melalui panggilan telefon oleh penganjur dan tiada sebarang bayaran dikenakan dan premis disewa oleh penganjur dengan kadar RM220 sehari.

"Hasil semakan identiti, didapati dua daripada 14 orang pengunjung yang hadir adalah anggota polis berpangkat Lans Koperal dan Konstabel Sokongan daripada Cawangan Tugas Am," katanya.

Sahar berkata, parti liar itu juga adalah 'parti ketamin' kerana semua mereka yang menjalani saringan awal urin didapati positif dadah itu.

"Semua pengunjung dikenakan kompaun RM4,000 setiap seorang mengikut Peraturan 17(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) (Pelan Pemulihan Negara) (No.2) 2021 dengan jumlah keseluruhan kompaun berjumlah RM 56,000.

"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau juga berkata, siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak melebihi RM5000 serta pengawasan polis tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun.

Pemilik kediaman dan juga penganjur boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 13(c) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau hukuman penjara selama tempohmaksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sahar berkata, pihaknya memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak terbabit, sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti sedemikian.

"Kita turut mohon kerjasama pihak pengurusan hotel, servis apartment dan kondominium untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis berkaitan aktiviti parti liar," katanya.

Orang ramai juga yang mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti tidak bermoral ini boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.

Tiada ulasan: