Selasa, 21 September 2021

500 penghantar makanan dapat insurans percuma

SEREMBAN: Seramai 500 penghantar makanan menjadi perintis menerima manfaat skim insurans takaful secara percuma hasil inisiatif kerajaan negeri menerusi Tabung Pembangunan Belia Negeri Sembilan (TABAH).

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata kerajaan negeri melunaskan bayaran RM30 bagi setiap individu penerima manfaat skim itu untuk tempoh setahun.

Penerima mendapat manfaat perlindungan termasuk RM10,000 bagi kecacatan kekal dan kematian, khairat kematian RM1,000 dan bil hospital RM1,000.

"Manfaat perlindungan ini bagi tempoh setahun daripada tarikh individu berkenaan mendaftar namun ia akan dikaji selepas tamat tempoh," katanya selepas melancarkan TABAH di kediaman rasmi Menteri Besar, hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyerahkan kad takaful berkenaan kepada 20 penerima awal skim berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, kerajaan negeri sudah mengemukakan permohonan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi kelonggaran had bilangan jemaah solat Jumaat.

Tiada ulasan: