Ahad, 12 September 2021

Banduan cipta lagu penghormatan buat negara dari bilik akhir di Singapura

Ahmad Mustakim Zulkifli

Ini adalah lagu kedua yang ditulis oleh Pannir Selvam Pranthaman, yang kini menunggu hukuman mati akibat kesalahan mengedar dadah.

Seorang banduan Malaysia yang menunggu hukuman mati di Singapura mencipta sebuah lagu sebagai penghormatan kepada mereka yang berjuang dan berkorban untuk negara, karya keduanya sejak dimasukkan ke penjara tujuh tahun lalu.

Ini merupakan lagu kedua ciptaan Pannir Selvam Pranthaman, seorang banduan warga Malaysia yang dijatuhkan hukuman mati pada 2017 kerana membawa dadah ke republik itu.

Lagu pertamanya, “Arah Tuju” yang dinyanyikan Santesh Kumar, diterbitkan pada April lepas.

Karya terbarunya, “Bukan Sekadar Hikayat”, akan dinyanyikan oleh seorang penyanyi rap India tempatan, Samson Thomas, atau lebih dikenali sebagai Saint TFC.

Bercakap kepada MalaysiaNow, adik kepada Pannir, Angelia Pranthaman berkata ia adalah caran abangnya untuk menunjukkan penghargaan kepada negara walaupun berada di penjara dan menunggu hukuman mati.

“Sudah pasti kita akan dapat ‘arah tuju’ ke mana perjalanannya akan pergi,” katanya menjelaskan kesinambungan dari lagu pertama itu.

Presiden Sebaran Kasih, Angelia Pranthaman menerangkan 
pelancaran lagu Bukan Sekadar Hikayat yang ditulis oleh 
Pannir Selvam yang dipenjarakan di Penjara Cangi, Singapura 
sejak 2014, lagu tersebut akan dilancarkan pada 13 September 
2021 di Facebook Sebaran Kasih.

Angelia, yang merupakan presiden NGO Sebaran Kasih berkata Pannir menulis lirik “Bukan Sekadar Hikayat” pada 2019.

Katanya, mereka berhubung dengan Pannir melalui telefon dan e-mel, dan dia meminta supaya Thomas menyumbang vokal untuk lagu itu, mengatakan penyanyi itu memiliki “suara yang tepat” untuk memperjuangkan isu tersebut.

Pannir dipenjarakan di Penjara Changi, Singapura kerana menyeludup 51.84g diamorphine dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi negara itu.

Pada 16 Mei 2019, penjara itu mengeluarkan notis pelaksanaan hukuman pada 24 Mei lalu.

Pannir memohon untuk menangguhkan pelaksanaan hukumannya dan Mahkamah Rayuan republik itu membenarkan penangguhannya beberapa jam sebelum dijadualkan menjalani hukumannya bagi membolehkannya mencabar keenganan presiden Singapura untuk memberikan pengampunan.

Lagu pertama Pannir menceritakan penderitaan banduan akhir dan merayu pengampunan dan belas kasihan.

Angelia berkata “Arah Tuju” berjaya meningkatkan kesedaran yang lebih tinggi mengenai masalah itu.

“Kami terima mesej dari ramai orang yang meminta kami teruskan usaha yang baik ini, kami yakin ia akan bangkitkan kesedaran dan acara seperti ini akan akhirnya menyebabkan hukuman mati dihapuskan di Malaysia,” katanya dan menambah “Arah Tuju” akan menjadi penanda aras kepada “Bukan Sekadar Hikayat” di Malaysia.

“Arah Tuju” setakat ini memperoleh lebih dari 27,000 tontonan di YouTube.

Tiada ulasan: