Ahad, 19 September 2021

11 lagi R&R, hentian sebelah PLUS dibuka untuk 'dine-in'

BH ONLINE
Sebanyak 11 lagi medan selera di pusat R&R dan hentian sebelah PLUS dibuka mulai hari ini. - Foto NSTP
Sebanyak 11 lagi medan selera di pusat R&R dan hentian sebelah PLUS dibuka mulai hari ini. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Sebanyak 11 lagi medan selera di pusat Rehat dan Rawat (R&R) dan hentian sebelah di Lebuhraya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dibuka semula hari ini.

Menurut PLUS dalam kenyataan hari ini, pembukaan itu susulan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang membenarkan pengoperasian pada kapasiti penuh atau 100 peratus berikutan 80 peratus kakitangan dan rakan niaga syarikat itu lengkap vaksinasi.

Lokasi terbabit ialah R&R Tapah (Arah Selatan dan Arah Utara), Rawang (Arah Utara), Dengkil (Arah Selatan dan Arah Utara) dan Pagoh (Arah Selatan).

Sementara itu, R&R Ulu Bernam (Arah Selatan) akan mula beroperasi Isnin ini, manakala R&R Seremban (Arah Selatan dan Arah Utara), Hentian Sebelah Nilai (Arah Utara) dan Serdang (Arah Utara) dijangka dibuka pada Selasa.

Medan selera di Hentian Sebelah Simpang Pulau (Arah Selatan), Mambau (Arah Timur dan Arah Barat), Sungai Buloh (Arah Selatan) dan Restoran Jejantas Sungai Buloh sudah mula beroperasi semalam.

"Bagi verifikasi untuk makan di dalam premis, pelanggan yang menerima vaksinasi sepenuhnya dikehendaki menunjukkan status vaksinasi MySejahtera COVID-19 masing-masing ketika memesan makanan di premis yang dikendalikan oleh rakan niaga kami," menurut kenyataan itu.

Pelanggan lebuh raya yang belum menerima vaksinasi penuh boleh memilih untuk membungkus makanan atau 'take-away', selain memesan makanan menggunakan fungsi Pre-Order di aplikasi PLUS atau melalui https://orderdisini.plus.com.my/ bagi meminimumkan kontak fizikal. - BERNAMA

Tiada ulasan: