Khamis, 11 Februari 2021

YPM taja tablet kepada pelajar

Oleh SUBKHI SUDARJI 
 
  AHMAD Jailani Muhamed Yunus (kiri) menerima sumbangan tablet daripada Mohd. Nizar untuk diagihkan kepada golongan pelajar B40 yang dikenal pasti dalam satu majlis di Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Luar Bandar menerusi Yayasan Pelajaran Mara (YPM) memperuntukkan RM300,000 tahun ini untuk pembelian tablet untuk disumbangkan kepada pelajar yang layak.

Kementerian itu dalam kenyataan berkata, kerajaan sedar kepentingan alat peranti dan talian internet kini menjadi satu keperluan bukan sahaja untuk setiap rumah tetapi pelajar tidak kira di peringkat tadika mahupun universiti.

“Penggunaan peranti ini adalah satu kemestian serta pengganti kepada kehadiran pelajar di kelas dalam norma baharu pada masa kini,” katanya hari ini.

Menurut kementerian itu, pihaknya juga memperuntukan 300 unit tablet kepada pelajar daripada golongan B40 dan asnaf yang akan diagihkan secara berperingkat kepada golongan pelajar yang dikenal pasti oleh Jabatan Pendidikan Negeri serta Pejabat Pendidikan Daerah.

“Ini bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan di rumah mahupun di lokasi yang sesuai bagi meminimumkan keciciran pembelajaran dalam kalangan pelajar terutama di kawasan luar bandar,” katanya.

Terdahulu, sebanyak 30 unit tablet diserahkan Pengerusi Eksekutif YPM, Datuk Dr. Mohd. Nizar Sudin kepada Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Ahmad Jailani Muhamed Yunus dalam satu majlis di kementerian itu,

Baki tablet akan diserahkan kepada negeri dan golongan yang dikenal pasti secara berperingkat.

Pihak kementerian dan YPM akan memastikan pelbagai inisiatif terutama dalam bidang pendidikan dapat dilaksanakan untuk masyarakat terutama di kawasan luar bandar bagi membolehkan akses kepada pendidikan dapat diutamakan bagi melahirkan generasi berpengetahuan yang akan menyumbang kepada negara. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: