PETALING JAYA: Seorang pakar kesihatan awam mengingatkan kempen vaksinasi Covid-19 kebangsaan bukanlah “peluru ajaib” menentang virus tersebut, dan masyarakat harus tetap berwaspada serta mematuhi peraturan kesihatan dan keselamatan.
Dr Noran Naqiah Mohd Hairi dari Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan di Universiti Malaya berkata, walaupun vaksinasi akan menjadi alat penting dalam perang melawan Covid-19, ia tidak akan menamatkan pandemik itu serta-merta.
“Untuk vaksinasi benar-benar berkesan, ia mesti membawa kepada perlindungan langsung secara meluas atau imuniti kelompok. Jadi, dengan kata lain, kita akan memerlukan masa untuk melihat hasil yang diharapkan,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, ini bukan masanya untuk orang ramai lalai, masih ada keperluan untuk meneruskan semua langkah kesihatan awam seperti pengawasan dan tindak balas (pengesanan kontak, pengasingan dan kuarantin), langkah perlindungan diri (menjaga kebersihan tangan, etika pernafasan, memakai pelitup muka) serta penjarakan fizikal.
Azrul Mohd Khalib, ketua eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial turut senada, dengan berkata langkah kesihatan, terutama sebahagian besar SOP yang diterapkan untuk perintah kawalan pergerakan bersyarat, mungkin perlu dikekalkan bagi dua tahun akan datang.
“Kesan meluas program vaksinasi terhadap populasi negara seperti Malaysia mungkin hanya dapat dilihat beberapa bulan selepas program tersebut dimulakan.
“Oleh itu, penting untuk sentiasa berwaspada sehingga sebahagian besar populasi divaksinasi,” katanya kepada FMT.
Memetik kajian Unit Perisikan Ekonomi (EIU), yang menganggarkan masa diperlukan untuk pelbagai negara mencapai imuniti kelompok, Azrul berkata, Malaysia hanya dapat mencapai vaksinasi lebih 60% penduduknya menjelang suku keempat 2022.
“Ini dengan andaian ia adalah tempoh minimum yang diperlukan untuk mencapai imuniti kelompok dan penyediaan vaksin berjalan seperti dirancang.
“Namun, kawalan vaksin oleh EU (Kesatuan Eropah) mungkin menjejaskan jadual waktu ini,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, petugas barisan hadapan daripada sektor kesihatan dan keselamatan akan diberikan vaksin terlebih dahulu, diikuti warga emas dan penghidap penyakit kronik.
Beliau berkata, Malaysia di landasan betul untuk menerima bekalan vaksin Pfizer bulan depan – sejuta dos pada suku pertama, dan 1.7 juta, 5.8 juta, serta 4.3 juta pada suku berikutnya.
EU baru-baru ini mengumumkan kawalan eksport vaksin Covid-19 yang dihasilkan di negara anggotanya.
Namun, Khairy berkata, vaksin Pfizer, yang dihasilkan di Belgium, akan dihantar mengikut jadual mulai bulan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan