Lazimnya, sebarang bentuk parti dadah akan melibatkan syabu atau seumpanya. Namun, di Butterworth semalam, lain pula ceritanya apabila pesta mabuk ketum menjadi tema parti liar itu.
Namun modus operandi sama, menyewa inap desa dan berkumpul ramai-ramai antara lelaki dan wanita.
Mereka berpesta dengan muzik lengkap set pembesar suara sambil melayan air ketum.
Susulan itu, polis menahan 10 individu termasuk seorang penjawat awam yang sedang leka berparti liar di sebuah inap desa di Kampung Benggali, di Butterworth awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, bertindak hasil maklumat awam dan risikan, pihaknya menyerbu pangsapuri itu pada 1.10 pagi.
Katanya, dalam serbuan itu mendapati lapan lelaki serta dua wanita yang kesemuanya berusia 21 hingga 31 tahun sedang berhibur.
“Kumpulan itu menyewa inap desa tersebut untuk berparti liar dan minum air ketum kerana dalam pemeriksaan di rumah terbabit kami turut menemukan enam bungkusan serta sebotol air ketum.
“Selain itu polis turut merampas satu set pembesar suara.
“Mereka turut menjadikan rumah itu seperti pusat hiburan dan turut memasang muzik dengan kuat untuk berhibur di situ,” katanya ketika dihubungi BERNAMA hari ini.
Katanya siasatan mendapati mereka menyewa pangsapuri itu tiga hari dua malam dengan bayaran RM300 untuk dijadikan tempat berhibur dan minum air ketum.
Ini bagi mengelak dikesan pihak berkuasa terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Semasa serbuan awal pagi tadi, mereka baru semalam menginap di situ untuk berparti liar dan setakat ini ujian air kencing semua mereka didapati negatif,” katanya.
Beliau menambah, mereka yang ditahan terdiri daripada penjawat awam iaitu bekerja sebagai atendan sebuah hospital, berniaga, pekerja kilang dan pekerja syarikat swasta.
Baca artikel berkaitan: Lapan polis dari balai sama terlibat pesta dadah, ketua positif syabu
APMM rampas RM15.5 juta dadah, ketum di Kedah/Perlis tahun lalu
Beliau berkata, selain dikompaun RM1,000 setiap seorang kerana melanggar PKP iaitu berhimpun untuk aktiviti sosial dan rentas daerah, semua mereka turut direman selama tiga hari.
Katanya, ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 iaitu memiliki air ketum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan