Khamis, 18 Februari 2021

Majlis nikah dibenarkan di masjid, kata Ismail Sabri

PETALING JAYA: Kerajaan hari ini bersetuju membenarkan majlis akad nikah diadakan di pejabat agama dan masjid dengan had maksimum adalah 20 orang tidak termasuk jurunikah serta saksi.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, majlis nikah yang ingin diadakan perlu mendapatkan kelulusan daripada pejabat agama terlebih dahulu.

Mengulas lanjut beliau berkata, bagi kawasan PKP Bersyarat (PKPB) , had maksimum jumlah kehadiran upacara akad nikah dibenarkan sebanyak 50% mengikut keluasan premis dengan penjarakan fizikal satu meter.

"Bagi kawasan PKPP pula, upacara pernikahan dibenarkan mengikut keluasan premis dengan penjarakan fizikal sejauh satu meter,” katanya pada sidang media PKP, di Putrajaya, dekat sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, bagi upacara pernikahan dan majlis resepsi bukan Islam pula akan diumumkan oleh Kementerian Perpaduan Negara.

Sementara itu, kerajaan setuju memberi kelonggaran bagi pembukaan sektor pelancongan dan kebudayaan di kawasan perintah Kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), dan PKP pemulihan (PKPP) bermula esok.

Bagaimanpun, beliau berkata aktiviti berkenaan masih tidak dibenarkan di kawasan PKP dan PKP Diperketatkan (PKPD).

Menurutnya, ini termasuk aktiviti pelancongan rentas negeri dan aktiviti pelancongan dalam negeri yang membabitkan pelancong asing tidak dibenarkan.

“Antara aktiviti dibenarkan di kawasan PKPB adalah produk tarikan pelancong seperti zoo, akuarium, pusat edutainment, taman rekreasi dan ekstrem.

“Begitu juga premis hasil seni, budaya dan warisan seperti muzium, perpustakaan, galeri seni, pusat budaya, pentas persembahan dan lain-lain serta taman tema dan pusat hiburan keluarga.

“Aktiviti berikut dibenarkan beroperasi dengan 50% kapasiti premis dan mematuhi penjarakan fizikal, mewajibkan pemakaian pelitup muka dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) lain,” katanya dalam sidang media hari ini.

Bagi kawasan PKPP, Ismail Sabri berkata, semua aktiviti pelancongan dan kebudayaan itu dibenarkan beroperasi dengan mematuhi penjarakan fizikal.

Katanya, aktiviti pelancongan dan kebudayaan selain di bawah senarai negatif perlu mengikut SOP sektor pelancongan dan kebudayaan sedia ada yang sedang berkuat kuasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, majlis rasmi dan tidak rasmi kerajaan serta swasta termasuk majlis sosial seperti kenduri, majlis perkahwinan, pertunangan, aqiqah, sambutan ulang tahun tidak dibenarkan di kawasan PKP manakala dibolehkan di lokasi PKPB dan PKPP.

“Begitu juga seminar, bengkel, kursus, latihan, persidangan, ceramah, mesyuarat, pameran, perdagangan dan aktiviti berkaitan,” katanya.

Tiada ulasan: