Sabtu, 20 Februari 2021

Majlis akad nikah boleh diadakan di hotel dan dewan – Jawi

Oleh MOHD HUSNI MOHD NOOR
 

PUTRAJAYA: Berita baik buat bakal pengantin apabila Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membenarkan majlis akad nikah diadakan di premis yang disewa seperti hotel, dewan dan butik pengantin, berkuat kuasa hari ini.

Ketetapan baharu itu berdasarkan kemas kini Garis Panduan Pelaksanaan Majlis Akad Nikah Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Garis panduan itu berkuat kuasa hari ini sehingga ke suatu tarikh yang ditetapkan oleh kerajaan.

Berdasarkan ketetapan sebelum ini, majlis akad nikah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan boleh dilaksanakan di pejabat cawangan Jawi dan masjid-masjid kariah di tiga wilayah berkenaan.

Selain itu, Jawi turut menetapkan supaya proses sanitasi di ruang majlis dan kawasan sekitarnya hendaklah dilakukan termasuk di tandas sebelum dan selepas majlis dijalankan.

kehadiran ke majlis akad nikah di premis tersebut juga hendaklah tidak melebihi 50 peratus keluasan kapasiti premis dengan mematuhi penjarakan fizikal 1.5 meter dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) am pelaksanaan majlis sosial yang dibenarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pada masa sama, kehadiran ke majlis akad nikah di Jawi dan masjid-masjid dalam tempoh PKP atau PKPB hendaklah tidak melebihi 30 orang termasuk pengantin lelaki, pengantin perempuan, jurunikah, wali, dua orang saksi dan seorang jurugambar.

Bagaimanapun, jumlah kehadiran itu juga tertakluk kepada keluasan tempat berkenaan.

Selain itu, Jawi turut menetapkan supaya hanya mas kahwin dan dokumen-dokumen yang berkaitan sahaja dibenarkan berada di dalam ruang majlis akad nikah.

Jawi menasihatkan semua pihak termasuk pasangan pengantin, ahli keluarga dan tetamu yang hadir supaya mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan oleh MKN dan Jawi.

Kegagalan mematuhi SOP yang telah ditetapkan boleh menyebabkan semua yang terlibat dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Dalam hal ini, Jawi tidak akan bertanggungjawab sekiranya terdapat pihak-pihak yang terlibat dalam majlis akad nikah tidak mematuhi SOP yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan. – UTUSAN ONLINE


Tiada ulasan: