JEMPOL: Sungai Serting di sini dipercayai tercemar susulan bendalir disyaki minyak diesel dikesan pada alirannya, dipercayai dibuang pihak tidak bertanggungjawab menyebabkan airnya berubah menjadi hitam.
Kejadian itu disedari seorang pekerja kafe berhampiran sungai itu pada jam 5.50 petang yang terbau minyak diesel sebelum mencari punca bau berkenaan.
Pengurus kafe, Nazrul Hafiz Abas berkata, dia dan pekerjanya kemudian bergegas ke sungai yang terletak kira-kira 50 meter sebelum mendapati air sungai berubah berwarna hitam.
Katanya, bau diesel dari sungai itu juga sangat kuat lantas mengesyaki ada pihak yang membuang minyak berkenaan ke dalam sungai sebelum melaporkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS).
"JAS sudah mengambil sampel bahan dan air sungai berkenaan untuk ujian makmal," katanya kepada BH, hari ini.
Setakat ini, BH masih menunggu pengesahan JAS berhubung perkara itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan