Isnin, 15 Februari 2021

Jumlah ‘sugar baby’ sangat tidak munasabah – KPT

jumlah 'sugar baby'
Jumlah 'sugar baby' dalam kalangan pelajar IPT jelas sangat meragukan./ Gambar hiasan media sosial

Jumlah ‘sugar baby’ yang dikaitkan dengan pelajar universiti tempatan seperti dakwaan beberapa portal berita sebenarnya sangat meragukan.

Sebagai contoh, Universiti Sunway hanya mempunyai 7,000 pelajar sahaja tetapi mengikut data dikeluarkan pihak berkenaan terdapat lebih 3,000 penunut institut pengajian tinggi (IPT) itu terlibat dengan ‘sugar baby’.

Menurut Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), dakwaan 45 peratus penuntut di universiti itu terlibat kegiatan ‘sugar baby’ jelas tidak munasabah.

Malah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Husaini Omar berkata, pada 10 Februari lalu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) juga membuat laporan polis bagi menafikan laporan pihak media berkenaan.

Bagaimanapun katanya, KPT bersama universiti yang disenaraikan ’10 teratas’ pelajarnya aktif dalam kegiatan ‘sugar baby’ baru-baru ini, akan menangani isu itu dengan lebih berkesan.

Beliau berkata, universiti terbabit juga akan menjalankan semakan dalaman secara terperinci bagi memastikan apa yang dilaporkan media dapat ditangani dengan sebaik-baiknya.

“KPT memandang serius pendedahan menerusi talian dibuat akhbar berbahasa Inggeris mengenai laman sesawang ‘program pelajar’ dan laporan dalam Facebook mengenai peningkatan mendadak bilangan pelajar universiti terbabit perkhidmatan ‘sugar baby’.

“KPT menghubungi beberapa universiti yang disenaraikan dalam laporan itu bagi mendapatkan maklumat kesahihan data disiarkan dalam beberapa media,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kementerian itu juga akan melaksanakan sesi libat urus dengan beberapa kementerian dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menangani perkara itu.

“Ia membabitkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang merangka program berterusan serta menyeluruh bagi memastikan sahsiah pelajar dan imej institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia terjaga,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Peningkatan pelajar IPT jadi ‘Sugar baby’ isu serius, kerajaan jangan ‘pejam mata’

Beberapa portal berita sebelum ini melaporkan pandemik COVID-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan ramai pelajar universiti di Malaysia mencari ‘sugar daddy’ bagi mendapatkan wang dengan cara mudah bagi menampung kos hidup serta yuran pengajian.

Perkhidmatan hubungan ‘sugar daddy-sugar baby’ terbesar di Asia, Sugarbook turut melaporkan peningkatan pendaftaran pelajar sehingga 40 peratus untuk menjadi ‘sugar baby’ sejak Januari lalu.

Ia juga mendedahkan seramai 12,705 pelajar terdiri daripada penuntut di IPT di Lembah Klang, termasuk dua universiti awam, berdaftar dengan platform itu.

Tiada ulasan: